Ganjaran bant...

Ganjaran bantu tangkap pemburu gading gajah

LAHAD DATU, 5 Jan – Jabatan Hidupan Liar Sabah menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang dapat memberikan maklumat sahih membabitkan insiden dua spesies gajah mati akibat pemburuan haram untuk gading berhampiran Sungai Segama baru-baru ini.

Penolong Pengarahnya, Dr Sen Nathan berkata pihaknya akan memberi ganjaran wang tunai sebanyak RM10,000 kepada individu yang dapat memberi maklumat tepat dan sahih berkaitan pemburuan haram berkenaan.

“Ganjaran itu untuk pemberi maklumat yang membawa kepada penangkapan dan hukuman ke atas pemburu haram berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat tepat dan sahih berkaitan perkara itu boleh menghubungi Jabatan Hidupan Liar Sabah di talian 013-5441980.

Pada 1 Jan lepas, pasukan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) dan Unit Perlindungan Hidupan Liar (WRU) menemukan dua ekor gajah jantan liar mati dibunuh oleh pemburu haram berhampiran Sungai Segama, Hutan Simpan Kawag.

Insiden pertama membabitkan seekor gajah jantan yang ditemukan mati pada 27 Dis 2016 di tengah-tengah kawasan ladang bersempadan Hutan Simpan Kawag.

Gajah jantan kedua yang dijumpai dan dipercayai mati pada 31 Dis 2016 pula merupakan gajah bergading bernama Sabre yang sebelumnya diselamatkan dari ladang dekat Tawau dan dipindahkan ke Hutan Simpan Kawag tiga bulan lalu selepas dipasang kolar satelit oleh DGFC dan WRU. – Bernama