Ganjaran besar ibadat korban

Ganjaran besar ibadat korban

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Aidiladha adalah hari perayaan bagi umat Islam dan dituntut untuk membesarkannya dengan bertakbir, bertahmid, bertasbih dan bertahlil.

Selain itu, antara ibadat yang dituntut mengerjakannya ialah melaksanakan ibadat korban iaitu menyembelih binatang ternakan seperti unta, kambing, kerbau atau lembu bagi yang berkemampuan pada waktu yang telah ditentukan.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menjelaskan mengenai perayaan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan di seluruh dunia tidak lama lagi, dan ibadat korban yang boleh dilaksanakan selepas terbit matahari pada Hari Raya Aidiladha iaitu setelah selesai sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah hingga terbenam matahari hari Tasyrik yang terakhir iaitu hari ke-13 Zulhijjah.

“Jika ibadat korban dilakukan sebelum atau selepas waktu tersebut, tidaklah dikira ibadat korban,” jelasnya.

Hukum berkorban adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat-sangat dituntut bagi orang yang baligh dan berakal, merdeka serta berkemampuan untuk melaksanakannya.

Adalah sunat melakukan korban bagi orang yang mampu dan adalah makruh hukumnya, jika dia tidak melakukannya sedangkan ia berkemampuan untuk melakukan korban tersebut.

Khatib turut mengingatkan dalam melaksanakan ibadat korban, hendaklah menanamkan niat dalam meraih ganjaran pahala yang telah dijanjikan oleh Allah, ini kerana Allah hanya menilai takwa tersebut.

Menerusi ibadat korban ini juga, jelas Khatib, ia boleh melahirkan tanda rasa syukur kepada Allah terhadap nikmat hidup yang telah dianugerahkanNya.

Di Negara Brunei Darussalam, tambah Khatib lagi, kesedaran umat Islam terhadap kelebihan dan keutamaan ibadat korban adalah semakin ketara di mana dapat dilihat pelbagai pihak menganjurkan majlis-majlis korban.

Ini juga tidak terkecuali orang persendirian malah sesetengah individu bukan saja melakukan korban untuk mereka sendiri tetapi untuk orang lain dengan perbelanjaan yang ditanggung oleh mereka sendiri.

“Ada yang melakukan korban untuk ibu bapa, anak-anak, adik-beradik, saudara-mara malah untuk teman-teman mereka,” jelasnya.

Khatib seterusnya mengingatkan, tidak harus untuk melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup dan tidak sah korban tersebut kecuali dengan keizinan daripada orang tersebut.

“Ini kerana korban itu satu ibadat dan melakukan ibadat untuk orang lain adalah ditegah dan dalam perkara ibadat korban, adanya keizinan adalah syarat yang mengharuskan seseorang itu melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup,” tegasnya.

Perkara ini berbeza dengan beberapa keadaan seperti yang pertama, wali iaitu bapa atau datuk boleh melakukan korban dengan perbelanjaan yang dikeluarkan dari harta wali itu sendiri untuk orang-orang yang di bawah jagaannya seperti anak atau cucunya yang masih kecil iaitu yang belum baligh.

“Tidak sah korban bagi anak yang masih dalam kandungan, ini kerana belum ada apa-apa tuntutan syarak yang dikenakan ke atasnya.

“Tidak harus bagi ahli waris atau orang lain melakukan korban bagi orang yang sudah meninggal dunia dan tidak sah korban yang dilakukan melainkan jika orang yang telah meninggal dunia pernah mewasiatkan sedemikian.

“Apabila orang yang diwasiatkan melakukan korban bagi pihak si mati, ia tidak boleh memakan daging tersebut dan tidak boleh menghadiahkannya kepada orang kaya kecuali jika si mati itu berwasiat memberikan keizinan dan daging tersebut wajib diagih-agihkan kesemuanya kepada fakir miskin,” jelas Khatib.

Khatib seterusnya menyeru untuk sama-sama muhasabah diri untuk memanfaatkan kelebihan rezeki yang Allah kurniakan untuk melaksanakan ibadat korban.

“Dengan ibadat korban itu, rezeki akan semakin berkat dan bertambah, semoga segala amal kebajikan yang dilakukan atas dasar keikhlasan dan ketakwaan itu akan diterima dan mendapat ganjaran berlipat ganda dari Allah,” jelasnya.