Ganjaran RP5 juta tangkap buaya

Ganjaran RP5 juta tangkap buaya

KUPANG, Indonesia, 5 Ogos – Sebuah bandar Indonesia mendapat idea asal untuk menghapuskan buaya dari pantai popularnya – ia akan menawarkan hadiah wang tunai kepada mereka yang menangkap reptilia memakan manusia itu, menurut seorang pegawai hari ini.

Bilangan buaya air masin berbahaya sekitar dua pantai berhampiran Kupang di timur Indonesia telah meningkat dalam tahun-tahun kebelakangan dan terdapat laporan pelancong-pelancong telah diserang.

Pihak berkuasa kini merancang melancarkan peraduan yang menawarkan hadiah wang tunai lima juta rupiah kepada pakar-pakar haiwan bagi setiap reptilia yang ditangkap hidup-hidup, menurut ketua pelancongan setempat Marius Ardu Jelamu.

“Kami telah memberi amaran kepada para pelancong supaya berhati-hati apabila melawat pantai tetapi itu tidak mencukupi, kami mesti melakukan sesuatu,” Jelamu memberitahu AFP.

“Sesetengah haiwan ini berukuran tiga hingga empat meter panjang, ini sangat menakutkan.”

Jelamu berkata skim itu hanya disasarkan kepada mereka yang berpengalaman dalam menangani buaya – bukan orang awam – dan haiwan-haiwan itu akan mungkin ditangkap dengan senapang ubat penenang dan tali.

Selepas ditangkap, buaya-buaya itu – iaitu spesies terlindung di bawah undang-undang Indonesia tidak dapat dibunuh – akan dibebaskan kembali ke hidupan liar jauh dari pantai.

Para peserta akan bersaing dalam pasukan dan skim itu dijangka bermula pada tempoh terdekat, kata Jelamu lagi.

Bagaimanapun agensi hidupan liar tempatan melahirkan kebimbangan bahawa peraduan itu mungkin berbahaya bagi para peserta, dengan ketua agensi Maman Surahman berkata buaya-buaya itu adalah ‘makhluk menakutkan’ bagi manusia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA