Gantung diri, pecah masuk

Gantung diri, pecah masuk

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 4 Jan – Seorang lelaki ditemui mati tergantung oleh ahli keluarganya dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Kampung Buangsiul malam tadi.

Mangsa berketurunan Melayu berumur 25 tahun dipercayai menggantung dirinya menggunakan seutas tali sebesar jari kelingking.

Kejadian itu disedari ayah mangsa yang membuka pintu dan mendapati anaknya menggantung diri sebelum bertindak memotong tali berkenaan untuk menurunkan mangsa ke bawah. Ketika kejadian mangsa tidak berbaju dan hanya berseluar jean panjang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata ketika pemeriksaan badan dijalankan, didapati terdapat kesan jerutan pada bahagian leher mangsa.

“Tiada kecederaan lain ditemui pada badan mangsa,” katanya di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya seramai 11 anggota dan dua pegawai bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan dari Bilik Gerakan Miri sekitar jam 9.57 malam kelmarin.

Tali yang digunakan mangsa yang ditemui mati tergantung di dalam biliknya.
Tali yang digunakan mangsa yang ditemui mati tergantung di dalam biliknya.

Jelasnya mayat mangsa sudah dihantar ke bilik mayat, Hospital Limbang dan akan dibedah siasat jam 2.30 petang ini. Punca kejadian ujarnya masih dalam siasatan. Kes berkenaan katanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu Mohd Bukhori turut mengatakan terdapat dua kes kecurian telah dilaporkan baru-baru ini di dua kawasan berasingan.

Seorang pengurus kilang telah mengalami kerugian RM60,375 selepas kilang papannya di Jalan Buangisul dekat sini dimasuki pencuri dalam kejadian yang berlaku Rabu lepas.

Dalam kejadian itu, mangsa, 28, menyedari beberapa barangan berharga hilang dilarikan pencuri.

Antara barangan tersebut termasuk sembilan unit gergaji pemotong, tiga unit mesin rumput, minyak enjin dan barangan lain.

Mohd Bukhori Saffai berkata akibat kecurian itu mangsa mengalami kerugian sebanyak RM60,375 dan telah menahan seorang suspek, 36, untuk membantu siasatan. Manakala itu, seorang kakitangan kerajaan juga mengalami kerugian RM19,300 selepas kuarters kerajaan yang didiaminya di Jalan Kubong dipecah masuk pencuri semasa awal tahun baharu.

Mangsa, 46, yang baru pulang bercuti selama 16 hari di Miri menyedari rumahnya dipecah masuk melalui tingkap sekitar jam 5.30 petang Jumaat lepas.

Mohd Bukhori berkata kebanyakan barang yang dikebas pencuri termasuk barangan rumah seperti televisyen, tong gas, dapur gas, komputer riba, jam tangan, pembersih air beralkali dan pelbagai barangan lain.

Setakat ini katanya tiada tangkapan dilakukan dan kedua-dua kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah).