Gara-gara ambil dadah ketika hari jadi

Gara-gara ambil dadah ketika hari jadi

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151223_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Gara-gara mengambil dadah ketika meraikan sambutan hari jadi pada 2013, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Jofli bin Haji Ali Amat, 43, yang berdepan dakwaan mengambil dadah kelas A, Methylamphetamine pada 27 Julai 2013.

Tertuduh sebelum ini pernah disabit atas kesalahan yang sama.

Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Bab 27 yang memperuntukkan maksimum penjara 10 tahun dan maksimum denda $20,000, dan untuk kesalahan kedua dan seterusnya, minimum penjara tiga tahun.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama oleh Biro Kawalan Narkotik dan Pasukan Polis Diraja Brunei di sebuah rumah di Kampung Pengiran Tejuddin Hitam.

Pemeriksaan badan yang dijalankan ke atas tertuduh meskipun tidak menemui barang berkaitan dadah namun ujian air kencing yang diambil daripadanya setelah dianalisa didapati mengandungi Methylamphetamine.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Narkotik, Ainorazimah binti Haji Zabidi.

Sementara itu, dalam bilik mahkamah yang berasingan, seorang lelaki tempatan dijatuhi empat tahun penjara atas kesalahan mengambil dadah pada 2013.

Mohammad Zimmy bin Jaidin didakwa mengambil dadah terkawal kelas A, Methylamphetamine pada 22 Mei 2013.

Majistret Hajah Noor Amalina binti DP Haji Alaihuddin mengarahkan hukuman ke atas tertuduh bermula hari ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Narkotik, Ainorazimah binti Haji Zabidi.

ARTIKEL YANG SAMA