Gara-gara curi, palsukan cek

Gara-gara curi, palsukan cek

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160101_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman dua tahun dan dua bulan penjara oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini, kerana mencuri, menggunakan dan memalsukan cek.

Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Zami’ulhayat @ Izzat bin Mohsin, 20, yang berdepan dakwaan mencuri kad ATM BIBD, buku akaun Bank RHB, buku cek Bank RHB dan ‘blue card’ kereta dari sebuah kereta Ford Ranger yang diletakkan di kawasan sebuah rumah di Kampung Tungku Link, Gadong antara 12 dan 14 Disember 2015.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan menggunakan dan memalsukan cek itu pada 14 Disember 2015 di rumahnya di STKRJ Kampung Rimba.

Pertuduhan menyebut, tertuduh membuka pintu kereta Ford Ranger yang tidak berkunci dan mencuri kad ATM BIBD, buku akaun Bank RHB, buku cek RHB dan ‘blue card’ kereta itu.

Tertuduh bersama rakannya pada 14 Disember menuju ke mesin ATM BIBD di Times Square dan cuba untuk mengeluarkan wang menggunakan kad BIBD yang dicuri namun gagal.

Tertuduh kemudian membawa rakannya ke Bank RHB Berhad di Kompleks Yayasan dan cuba untuk mengemas kini akaun buku yang dicuri itu tetapi gagal.

Tertuduh kembali ke rumahnya dan menulis jumlah $10,000, $15,000 pada dua keping cek dan $20,000 lagi pada dua keping cek dan memalsukan tandatangan ke atas lima cek Bank RHB itu dengan meniru tandatangan pemiliknya daripada cek yang sedia ada dalam buku cek tersebut.

Tertuduh kemudian mengajak adiknya ke Bank RHB dan mengemukakan salah satu daripada cek yang berjumlah $20,000 kepada kaunter.

Kakitangan wanita di kaunter tersebut meminta tertuduh untuk menunjukkan kad pengenalannya sebelum memproses cek itu di mana tertuduh memberitahu kad pengenalannya tinggal di dalam kereta. Tertuduh keluar dan tidak kembali semula ke bank tersebut.

Pada tarikh yang sama, pemilik kad BIBD menerima panggilan daripada BIBD yang bertanyakan sama ada dia telah membuat permohonan untuk pin ATM.

Pemilik kad memberitahu pihak bank dia tidak pernah membuat sebarang permohonan di mana dia kemudian pergi ke keretanya, dan mendapati barang-barangnya telah hilang.

Dia turut pergi ke Bank RHB untuk membuat buku cek yang baru di mana pihak bank memaklumkan bahawa terdapat dua orang lelaki telah datang ke bank dan cuba mengemas kini buku akaunnya.

Dia membuat laporan polis, dan tertuduh ditangkap pada 17 Disember.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim.