Gara-gara dendam, penganggur dipenjara

Gara-gara dendam, penganggur dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Kerana dendam, seorang penganggur dijatuhi empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan mencuri.

Jeludin bin Haji Tiga, 44, mengaku bersalah di hadapan Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman kerana mencuri satu pam tekanan air dan hos; gerudi Makita dan alat pertukangan milik lelaki yang didendaminya itu.

Siasatan polis mendedahkan, tertuduh ketika itu hendak menunaikan solat Jumaat, dan telah meletakkan keretanya di kawasan kedai di Kampung Salambigar, pada 22 April 2016. Ketika masih berada di dalam kereta, dia terlihat kenderaan milik lelaki yang didendaminya itu berada tidak jauh daripada keretanya.

Tertuduh kemudian mendekati kereta itu, dan membuka pintu belakang melalui tingkap yang sedikit terbuka. Dia membawa barang yang dicuri itu ke rumahnya, dan menukar warna pada pam tekanan air.

Dia mengaku melakukan curi itu kerana ingin membalas dendam terhadap lelaki itu kerana tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembaikan peti sejuk yang dikendalikan oleh lelaki tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA