Gara-gara ikut perasaan marah

Gara-gara ikut perasaan marah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Tindakan seorang penganggur yang memandu secara berbahaya, hanya kerana marah ekoran permintaannya untuk mendapatkan perkhidmatan kereta tunda tidak diendahkan akan mengetahui nasibnya pada 3 Mei ini.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menetapkan tarikh sebutan hukuman itu ke atas Zulhilmi bin Mat Jeneh, 25, yang mengaku bersalah memandu keretanya secara berbahaya, yang boleh menyebabkan kecederaan kepada orang lain.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa pemenjaraan sehingga tiga tahun, dan juga denda.

Dia juga mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kerosakan pada kaunter pameran bengkel kereta dan didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa pemenjaraan sehingga lima tahun dan tidak kurang daripada dua kali sebatan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bengkel Yeo Motors, Tutong pada 7 April 2016 kira-kira jam 2:55 petang.

Kertas pertuduhan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff menyebut, tertuduh pergi ke bengkel kereta tersebut untuk mendapatkan perkhidmatan kereta tunda namun diberitahu untuk menunggu seketika.

Tertuduh terus marah kerana berpendapat permintaannya itu tidak diendahkan, dan mula menjerit sambil menuju ke keretanya.

Tertuduh memandu keretanya dan melanggar kaunter pameran di mana dua orang jurujual yang berada di belakang kaunter tersebut mengalami kecederaan.

Kerosakan yang dialami oleh bengkel kereta untuk membaiki kaunter pameran dan kerugian palam pencucuh ialah $6,910.40 sen.

ARTIKEL YANG SAMA