Gara-gara ‘kerja Qatar’ FIFA berdepan saman

Gara-gara ‘kerja Qatar’ FIFA berdepan saman

THE HAGUE, 11 Okt – Kesatuan sekerja terbesar di Belanda dan salah seorang daripada anggotanya mengancam untuk menyaman FIFA kerana gagal untuk menghalang tuan rumah Piala Dunia 2022 Qatar daripada terus menindas dan mencabuli hak-hak asasi pekerja, kesatuan itu berkata pada Isnin.

FNV Bondgenoten bersama seorang pekerja Bangladesh mahu mengheret FIFA ke mahkamah untuk menuntut menamatkan perhambaan moden, kesatuan itu berkata dalam satu kenyataan.

Saman terhadap FIFA berkenaan antara lain berbunyi: “FIFA mempunyai tiga minggu untuk bertindak balas kepada permintaan itu sebelum kes dibuka di mahkamah Zurich, yang juga pangkalan kepada badan induk bola sepak itu.”

Saman difailkan selepas kumpulan hak asai menuduh Qatar menindas lebih daripada 5,000 pekerja yang membina kemudahan untuk negara Teluk itu menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Pada bulan Mac, Amnesty International telah menerbitkan satu laporan menyatakan pekerja di Stadium Antarabangsa Khalifa, kebanyakannya dari Bangladesh, India dan Nepal, telah ditipu mengenai gaji mereka, kerja tanpa gaji untuk beberapa bulan dan ditempatkan di penginapan yang kotor seperti buruh paksa.

Nadim Shariful Alam, 31, merupakan salah seorang pekerja dari cawangan antarabangsa FNV, dan plaintif bersama dalam kes 1.1 juta anggota FNV.

Alam diumpan bekerja di Qatar dengan kisah dongeng gaji menarik 3,976 euro sebulan (AS$4,400),” demikian kata FNV.

“Sebagai pertukaran dia terpaksa bekerja keras sebagai pemunggah barangan kapal selama setahun setengah sebagai hamba moden, hidup dalam keadaan mengerikan bersama ribuan yang lain di kem khas dengan passport perlu diserahkan,” kata kesatuan.

Dalam saman setebal 127 halaman itu, FNV berkata selain Alam, mereka juga menyaman bagi pihak ribuan pekerja asing lelaki yang bekerja di bawah keadaan yang amat buruk.

FNV juga menuntut FIFA bertanggungjawab sepenuhnya dan harus menamatkan eksploitasi buruh di Qatar kerana mereka adalah pemilik Piala Dunia.

Kesatuan itu juga mahu FIFA menguatkuasakan hak-hak pekerja yang berkaitan Piala Dunia dan membayar Alam sebanyak 10,000 sebagai pampasan. – AFP