Gara-gara mencederakan saudara sendiri

Gara-gara mencederakan saudara sendiri

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Seorang lelaki tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, kerana menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki lain.

Asahrin bin Idris, 48, berdepan dakwaan mengelar siku mangsa dengan menggunakan samurai pada 9 Disember.

Tertuduh dalam rayuannya memberitahu mahkamah dia tidak berniat untuk mencederakan mangsa yang juga saudaranya dan memohon supaya hukuman diringankan.

Menurut fakta kes, tertuduh pergi ke rumah mangsa di Kampung Salambigar pada 9 Disember kira-kira jam 3:30 pagi.

pg01_151231_mahkamah logo

Sebaik mangsa tiba di kawasan rumahnya dan hendak keluar dari keretanya, tertuduh mengambil samurai yang diletakkan di tepi tempat duduk pemandu dan mengayunkannya ke arah mangsa.

Mangsa cuba mengelak namun samurai tersebut telah mengenai siku kanannya sebelum lari masuk ke rumahnya.

Mangsa telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan laporan pemeriksaan mengatakan bahawa dia mengalami luka ringan di siku kanan akibat benda tajam.

Tertuduh ditangkap sebaik mangsa membuat laporan polis.

Majistret Kanan, Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain mengarahkan tertuduh untuk terus ditahan reman sehingga sebutan hukuman pada 31 Disember.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamaliah binti Haji Ibrahim.

ARTIKEL YANG SAMA