Gara-gara menyamar polis

Gara-gara menyamar polis

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Gara-gara menyamar sebagai anggota polis, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 35 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman turut memerintahkan Ezham bin Miga, 39, untuk membayar ganti rugi $150 kepada mangsa yang ditipunya atau berdepan tambahan sebulan penjara.

Fakta kes menyebut, tertuduh pada 25 Ogos, sekitar jam 2 petang, menumpang sebuah kereta yang dipandu oleh orang lain ke kawasan padi di Kampung Limau Manis.

Setiba di kawasan berkenaan, tertuduh memasuki sebuah pondok dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis kepada seorang lelaki Indonesia, dan mengarahkannya untuk menunjukkan kad pengenalan dan menulisnya di atas kertas.

pg06_150911_mahkamah logo

Tertuduh menyelongkar dompet mangsa dan mengambil wang $150 tanpa pengetahuan mangsa. Tertuduh kemudian mengambil kertas itu dan terus pergi.

Mangsa yang menyedari wangnya hilang telah membuat laporan polis dan siasatan yang dijalankan membawa kepada tangkapan tertuduh pada 1 September sekitar jam 3:40 petang.

Tertuduh mendakwa dia dipengaruhi oleh dadah ketika itu dan telah menggunakan kesemua wang yang diambilnya daripada mangsa.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aiman Adri bin Ahmad Zakaria.

ARTIKEL YANG SAMA