Gara-gara menyamar

Gara-gara menyamar

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160408_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Seorang pengurus di fesyen butik, Kota Kinabalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan di bawah Akta Imigresen.

Lucilla Puyok, 31, didakwa memasuki Brunei Darussalam tanpa memiliki pas yang sah pada 2 April 2016, dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Bab 17 yang memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dari dua tahun, dan tidak kurang daripada tiga kali sebatan.

Walau bagaimanapun, hukuman sebatan akan dikecualikan pada tertuduh wanita tertuduh itu.

Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa menyamar sebagai Veronica Serawan J Martin dengan menggunakan pasport miliknya ketika berada di kaunter pelepasan Pos Kawalan Imigresen Ujong Jalan pada tarikh yang sama.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh juga berdepan dakwaan menyamar sebagai Veronica Serawan J Martin dengan menggunakan pasportnya di kaunter ketibaan Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah pada hari yang sama.

Pertuduhan kedua dan ketiga membawa kepada denda $10,000 dan lima tahun pemenjaraan mengikut Seksyen 12(1)(c) Akta Pasport, Bab 146.

Penyamaran tertuduh hanya disedari oleh pegawai imigresen yang bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah apabila mendapati gambar pasport di bawah nama Veronica itu tidak sama dengan muka tertuduh.

Tertuduh dalam rayuannya memberitahu mahkamah bahawa dia tidak berniat untuk memasuki Brunei Darussalam namun didesak oleh rakannya.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menetapkan 9 April untuk sebutan hukuman.

ARTIKEL YANG SAMA