Gara-gara miliki makanan tanpa permit

Gara-gara miliki makanan tanpa permit

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Seorang wanita penduduk tetap, terlepas daripada menjalani penjara selama empat bulan selepas membayar denda $4,600 yang dijatuhi Mahkamah Majistret, semalam, atas kesalahan memiliki tongkeng dan sosej ayam tanpa permit.

Lizawati binti Awang Mohamed, 33, mengaku bersalah di hadapan Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman kerana memiliki 15 kotak tongkeng dan 351 paket sosej ayam jenama Rose pada 31 Januari 2016.

Dia didapati melakukan kesalahan itu oleh pegawai pencegah kastam dan pegawai dari bahagian kawalan makanan yang membuat pemeriksaan terhadap rumah defendan di Perumahan Kampung Tanah Jambu.

Barang makanan tanpa permit itu telah ditemui dalam penyejuk beku di rumah tersebut.

Ketika siasatan dijalankan, defendan mengaku membeli tongkeng dan sosej ayam itu di kawasan Pantai Muara yang dijual oleh seorang lelaki dari Lawas.

Defendan memberitahu makanan itu adalah untuk kegunaannya sekeluarga.

Pegawai Pendakwa Kastam memberitahu mahkamah, nilai untuk kesemua tongkeng dan sosej ayam itu ialah $917.40.

ARTIKEL YANG SAMA