Gara-gara miliki raifal buatan sendiri

Gara-gara miliki raifal buatan sendiri

LABUAN, 3 Jan (Bernama) – Polis Labuan menahan empat rakyat tempatan termasuk seorang wanita kerana memiliki raifal buatan sendiri dan dadah semalam.

Semua suspek berusia antara 30 dan 40 tahun ditahan bersama tiga laras raifal dan peluru guli dan 6.53 gram dadah sintetik jenis syabu di Jalan Tanjung Kubong pukul 3 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata semua suspek lelaki ditahan reman empat hari manakala suspek wanita tiga hari mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka ditahan oleh dua kereta peronda ketika melakukan rondaan biasa di sekitar Kampung Tanjung Kubong selepas mendapati kereta Toyota Land Cruiser yang dinaiki mereka diletakkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan. “Ketika melakukan pemeriksaan badan, polis menemui tin aluminium mengandungi 37 straw mengandungi dadah dipercayai syabu dalam kocek seluar seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menjumpai dua raifal dalam kenderaan itu manakala satu lagi ditemui dalam longkang berhampiran selepas dicampakkan oleh suspek lain,” katanya.

Mohd Ibrahim turut mengesahkan kesemua suspek diuji positif syabu. “Tiada seseorang pun dibenarkan memiliki, membawa atau menggunakan senjata atau peluru tanpa lesen atau permit, walaupun untuk tujuan memburu binatang atau burung,” katanya.