Gara-gara miliki rokok tidak diisytihar

Gara-gara miliki rokok tidak diisytihar

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Mahkamah Majistret, hari ini, menolak permohonan dua lelaki tempatan yang ingin membayar secara ansuran denda $12,000 yang dikenakan atas kesalahan memiliki rokok tanpa membayar cukai pada 2014.

Majistret Kanan, Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain mengarahkan Muhammad Joenytty Aldi bin Abdullah, 25, dan Aziman bin Zaini, 30, untuk dipenjarakan selama 12 bulan, bermula hari ini.

Muhammad Joenytty didakwa memiliki 38 karton rokok di dalam keretanya di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 5 April 2014 sekitar jam 11:10 pagi, manakala Aziman berdepan pertuduhan memiliki 37 karton rokok pada tempat dan tarikh yang sama.

Fakta kes menyebut, kereta yang dipandu Muhammad Joenytty bersama seorang penumpang, Aziman ditahan oleh pegawai kastam yang bertugas di pos kawalan tersebut.

pg01_151230_mahkamah logo

Pemeriksaan awal ke atas kereta itu menemui pelbagai jenama rokok disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang di mana pemeriksaan seterusnya turut menemui sejumlah rokok lagi di bawah kusyen tempat duduk penumpang belakang, di belakang sistem pembesar suara di but kereta dan di dalam kompartmen depan kereta.

Muhammad Joenytty mengaku sebanyak 38 karton yang ditemui itu adalah miliknya dan selebihnya iaitu 37 karton lagi adalah milik Aziman.

Kedua-duanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Syarikat Raven Guard, Seria mengaku membeli rokok-rokok itu di Limbang untuk diri sendiri dan juga untuk dijual kepada rakan-rakan.

Cukai rokok yang seharusnya dibayar oleh Muhammad Joenytty ialah $1,880 dan $1,720 untuk Aziman.

Pegawai Pendakwa Kastam memohon kepada mahkamah untuk rokok-rokok dalam senarai rampasan itu diserahkan kepada kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA