Gara-gara palsukan pas melawat

Gara-gara palsukan pas melawat

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Mahkamah Majistret, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas seorang lelaki warga Indonesia selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengubah tarikh mansuh pas melawat.

Roma Saputra, 22, berdepan kesalahan mengubah tarikh mansuh pas melawat daripada 5 November 2015 kepada 16 November 2015 dalam pasportnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1) Akta Pasport, Bab 146 yang memperuntukkan denda $10,000 dan lima tahun penjara.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain mengarahkan hukuman ke atas tertuduh bermula hari ini.

pg01_160127_mahkamah logo

Fakta kes menyebut, tertuduh tiba di Brunei pada 29 Oktober 2015 melalui Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh dan dikeluarkan pas melawat yang sah sehingga 5 November 2015.

Namun, tertuduh tidak meninggalkan negara ini selepas tarikh mansuh pas sebaliknya mengubah tarikh mansuh itu kepada 16 November 2015.

Pada 15 November 2015, tertuduh berjaya melepasi pos kawalan imigresen Kuala Lurah dan pergi ke Limbang, namun ketika hendak memasuki semula negara ini, pegawai imigresen yang bertugas mendapati pas melawat tertuduh telah pun mansuh 11 hari yang lalu melalui sistem data komputer, dan tarikh mansuh asli telah diubah oleh tertuduh.

ARTIKEL YANG SAMA