Gara-gara ‘pendapatan sampingan’

Gara-gara ‘pendapatan sampingan’

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Gara-gara ingin mencari pendapatan sementara menunggu pekerjaan, seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda $7,800 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Muhammad Iqbal Hanis bin Haji Saman, 23, didakwa memiliki 14 karton dan 66 paket rokok pelbagai jenis di sebuah bilik sewa di Berakas pada 15 Januari 2015 kira-kira jam 7:08 malam.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memberi tempoh tujuh bulan kepada defendan untuk membayar denda atau berdepan tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Defendan mengaku bahawa dia memperolehi rokok-rokok itu daripada seorang lelaki yang dikenali dengan nama ‘Bro’, dan turut mengakui bahawa rokok-rokok yang dimilikinya itu adalah untuk dijual.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lelaki Malaysia juga dikenakan hukuman denda $17,600 atau meringkuk 13 bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Pemangku Majistret Kanan atas pertuduhan memiliki 46 karton rokok pelbagai jenis.

Hwong King Hoo, 45, ditahan di Pos Kawalan Kastam, Kuala Lurah pada 9 April 2013 sekitar pukul 7:28 malam di mana pegawai yang bertugas menemui rokok-rokok itu disembunyikan di bahagian enjin dan di ruang tayar ganti.

Defendan ketika disoal siasat oleh pegawai kastam memberitahu rokok-rokok itu dibelinya di Limbang untuk kegunaan sendiri dan juga untuk dijual.

Sementara itu, seorang lagi lelaki tempatan turut dijatuhkan hukuman denda $1,520 setelah mengaku bersalah memiliki rokok seludup.

Johari bin Yassin, 55, diberi tempoh empat bulan oleh Pemangku Majistret Kanan untuk membayar denda, dan jika gagal berdepan empat bulan penjara.

Defendan disabitkan memiliki tiga karton dan 13 paket rokok pelbagai jenis di sebuah rumah di Kampung Perpindahan Lambak Kanan ketika pemeriksaan dilakukan oleh pegawai pencegah kastam yang menerima maklumat dari orang ramai.

Defendan mengaku telah membeli rokok-rokok itu di Limbang.

ARTIKEL YANG SAMA