Gara-gara percayakan bomoh, warga emas kerugian RM60,000

Gara-gara percayakan bomoh, warga emas kerugian RM60,000

MUAR, 28 Mei (Bernama) – Gara-gara mempercayai bomoh yang kononnya boleh membuang bala, seorang wanita berusia 60 tahun akhirnya mengalami kerugian yang dianggarkan bernilai RM60,000 apabila ditipu tiga individu dalam satu kejadian Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Azman Ayob berkata dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi di sebuah pasar di Jalan Ali/Arab di sini, mangsa telah didatangi seorang perempuan yang dipercayai warganegara China yang berpura-pura bertanyakan tentang ubat herba.

“Suspek kemudiannya mendakwa mangsa dalam keadaan kurang sihat dan ada hantu yang sedang mengekori mangsa. Tiba-tiba datang seorang lagi suspek perempuan yang juga dipercayai warganegara China yang meminta mangsa bertemu seorang bomoh bagi membuang bala.

Kedua-dua suspek itu kemudiannya telah membawa mangsa bertemu bomoh berkenaan iaitu seorang lelaki yang dipercayai rakyat negara ini di sebuah warung berdekatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azman berkata lelaki yang mendakwa bomoh itu telah meminta mangsa pulang untuk membawa semua barang kemas dan wang tunai bagi upacara membuang bala yang kononnya bagi mengelak hantu itu terus mengganggu diri dan keluarga mangsa.

Katanya mangsa yang terpengaruh telah pulang bagi mengambil semua barang kemas dan mengeluarkan wang tunai sebanyak RM35,000 dari sebuah bank sebelum bertemu semula lelaki berkenaan.

“Lelaki itu telah meminta mangsa membungkus semua barang kemas dan wang tunai itu dalam bungkusan akhbar sebelum berpura-pura membaca jampi yang kemudiannya telah menyerahkan semula bungkusan itu kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata mangsa telah diminta untuk tidak membuka bungkusan itu bagi tempoh selama tujuh hari namun ketika pulang ke rumah, mangsa telah membuka bungkusan berkenaan atas nasihat anaknya dan terkejut dalam bungkusan itu hanya terdapat satu botol minuman mineral dan dua biji batu.

Menurutnya merasakan dirinya ditipu, mangsa telah membuat laporan polis dan berikutan itu polis memburu tiga individu yang berumur antara 30-an dan 40-an melalui rakaman kamera litar tertutup dan fotofit suspek.

ARTIKEL YANG SAMA