Gara-gara rakam video wanita mandi

Gara-gara rakam video wanita mandi

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengenakan hukuman denda RM10,000 atau lima bulan penjara terhadap seorang pegawai eksekutif kerana mencabul kehormatan seorang suri rumah dengan membuat rakaman video wanita berkenaan sedang mandi dua tahun lepas.

Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali membenarkan rayuan pihak pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengenakan bon ikat jamin RM5,000 oleh seorang penjamin selama dua tahun terhadap Izwar Efendi Taswar.

Hakim Aziah berkata mahkamah berpendapat Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (seksyen yang membenarkan mahkamah mengenakan ikat jamin terhadap seseorang pesalah kali pertama) adalah tidak terpakai dalam kes Izwar berdasarkan keadaan kes itu.

Katanya, dengan mengambil kira keadaan kesalahan yang dilakukan itu, mahkamah tidak menemui sebarang sebab kenapa Izwar melakukan perkara itu.

“Kami mengambil kira dia adalah pesalah kali pertama, dia telah menyesal dan telah memohon maaf kepada mangsa serta mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan,” kata Aziah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi.

Izwar, 33, dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah membuat rakaman video wanita berusia 23 tahun itu sedang mandi di bilik air sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 11.52 pagi 11 Januari, 2013, dengan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy SII.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara terhadap Izwar dan mengenakan ikat jamin terhadapnya selama dua tahun.