Gara-gara sambungan meter prabayar longgar

Gara-gara sambungan meter prabayar longgar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 18 Jan – Tindakan pantas jiran tetangga menghubungi pihak bomba berjaya mengelakkan api kecil yang berlaku pada meter elektrik menjadi marak dan merebak ke dalam sebuah rumah di STKRJ Kampung Mumong, Kuala Belait, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, empat orang anggota dari Stesen Bomba Kuala Belait yang diketuai oleh SO Haji Abdul Latif bin Haji Badar telah berjaya mengawal kebakaran sebelum merebak ke dalam rumah.

Salah seorang jiran tetangga yang menyaksikan kejadian itu, Awang Khairul Anwar bin Ramli memberitahu, beliau ternampak api yang marak menyala dari rumahnya yang tidak jauh dari rumah mangsa, setelah diberitahu oleh ibunya.

Kejadian dipercayai berpunca daripada penyambungan yang longgar di bahagian meter prabayar.

Dua anggota penyiasat kebakaran sedang memeriksa punca api.
Dua anggota penyiasat kebakaran sedang memeriksa punca api.
Papan elektrik prabayar yang sudah hangus.
Papan elektrik prabayar yang sudah hangus.

Pihak bomba melaporkan, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota melihat meter prabayar berkenaan mengeluarkan api kecil dan segera bertindak mengawal api dalam masa 2 minit.

Pemilik rumah, Awang Mohammad Umbu bin Ahmad serta keluarga tidak berada di rumah ketika kejadian, dan bergegas pulang setelah mendapat panggilan daripada jiran tetangga.

Pegawai yang mengetuai gerakan operasi memadam, Stesen Komander Balai Bomba Kuala Belait, ASFR Zulkeflee bin Alimas serta pegawai-pegawai dari Unit Penyiasat, ASO Ali bin Amlee dan ASO Razali bin Haji Umar juga berada di tempat kejadian untuk memeriksa punca kejadian itu.

Kerugian akibat kejadian itu dianggarkan berjumlah $520 dan telah disahkan oleh Pegawai Elektrik, Haji Abdul Hamid bin Mohd Noor.

ARTIKEL YANG SAMA