Gara-gara tegur, guru ditumbuk, ditendang

Gara-gara tegur, guru ditumbuk, ditendang

SIBU, 18 Okt – Seorang guru lelaki sekolah menengah di Jalan Teng Chin Hua di sini, lebam di muka dan cedera di perut selepas ditumbuk dan ditendang seorang pelajar, semalam.

Guru disiplin berusia 40-an itu turut dimaki pelajar lelaki berkenaan selepas dikatakan menegurnya ketika perhimpunan sekolah kira-kira pukul 7.30 pagi.

Beliau yang mengalami pendarahan pada hidungnya kemudian membuat laporan polis pada 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi yang dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan berkata polis sudah mengenal pasti pelajar berkenaan.

Bagaimanapun Mohd Kamal berkata pihaknya masih belum menahan pelajar itu untuk membantu siasatan. – Bernama