Gara-gara ugut bekas teman wanita

Gara-gara ugut bekas teman wanita

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Seorang bekas anggota polis dijatuhi 18 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, semalam, kerana mengugut bekas teman wanitanya dengan parang pada September 2013.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Hesney anak Bujang, 27, selepas mahkamah mensabitkannya bagi pertuduhan pertama iaitu menakutkan secara jenayah terhadap teman wanitanya dengan parang pada 6 September 2013 kira-kira jam 2 petang.Hesney bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu memiliki parang pada tarikh yang sama.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh yang digantung perkhidmatannya dari Pasukan Polis Diraja Brunei pada 18 September 2013 telah pergi ke tempat kerja bekas teman wanitanya di Kampung Belaban, Jalan Batang Duri, Temburong dengan niat untuk berhadapan dengannya.

Tertuduh membawa bersama parang kerana mahu mengugut bekas teman wanitanya.

pg07_160201_mahkamah logo

Ketika bertengkar, tertuduh telah menampar bekas teman wanitanya sambil memegang parang di tangan kanannya.

Tertuduh juga mengugut akan merosakkan kereta bekas teman wanitanya dengan parang, dan ini telah menimbulkan rasa takut kepada mangsa.

Tertuduh meninggalkan bekas teman wanitanya sebaik melihat seseorang berjalan ke kawasan berhampiran mereka.

Ketika disoal siasat, tertuduh mengaku membawa parang itu untuk mengugut bekas teman wanitanya dan turut mengaku telah mengugut akan merosakkan keretanya bagi tujuan menakutkannya.

ARTIKEL YANG SAMA