Garam Bario bukan garam biasa

Garam Bario bukan garam biasa

Oleh Abdul Aziz Harun

 

BARIO (Sarawak), 22 Nov – Garam biasa tidak ada dijual di Tanah Tinggi Kelabit. Sebaliknya, di lembah pergunungan ini yang terletak 1,150 meter dari paras laut dikurniakan dengan garam semula jadi yang jauh lebih berkhasiat.

Garam berkenaan diusahakan secara tradisional oleh penduduk di desa Pa’Umor dari sebuah telaga air masin yang dikenali sebagai Main Kerambut.

Telaga itu hanya boleh diakses menerusi 15 minit perjalanan dengan pacuan empat roda dari Bario, sebelum 15 minit lagi berjalan kaki meredah hutan rimba, yang turut dikongsi oleh lintah dan pacat.

Di telaga ini, setiap keluarga di Pa’Umor akan mengambil giliran untuk tinggal di bangsal usang yang menempatkan telaga berkenaan selamaseminggu atau dua, untuk menimba airnya, diproses secara tradisional untuk dipasarkan kepada pelancong yang datang atau ke Miri. Penulis secara kebetulan bernasib baik dalam kunjungan ke telaga berkenaan baru-baru ini, bertemu dengan Rian John, 50, yang mengambil giliran mengusahakan garam ketika itu, fasih berbahasa Malaysia dan Inggeris untuk menceritakan proses-prosesnya.

Proses secara tradisional

Rian berkata air dari telaga itu akan dimasak secara tradisional selama 24 jam dalam kuali besar, dan ketika ini kayu api yang cukup perlu disediakan, dan seseorang perlu menjaga apinya supaya tidak terpadam sepanjang proses itu.

Proses pembuatan garam Bario. – Gambar oleh Wazari Wazir
Proses pembuatan garam Bario. – Gambar oleh Wazari Wazir
Garam Bario yang sudah siap diproses.
Garam Bario yang sudah siap diproses.

Sebatian yang tinggal di dasar kuali itu seberat kira-kira tiga kilogram adalah garamnya, namun proses masih belum berakhir kerana sebatian itu perludimasukkan dalam buluh yang ditebuk lubang kecil di dasarnya dan disalai beberapa jam lagi untuk disejat lembapannya.

Buluh itu kemudian dibakar, dan sebatian yang tinggal berbentuk silinder akan dikikis bahagian luar bagi membersihkannya sebelum dibungkus dengan daun lalu diikat dengan jalinan buluh bagi tujuan pemasaran.

“Telaga ini sudah diusahakan kira-kira lima generasi sebelum ini,dikatakan memiliki khasiat tersendiri untuk menghindari pelbagai penyakit, dengan kandungan zat besi, kalsium, potasium, kalium dan magnesium semulajadi lebih tinggi berbanding garam biasa,” katanya.

Menceritakan sejarah penemuan telaga ini, Rian berkata banyak versi yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya, namun satu daripadanya ialah dipercayai dikesan oleh seorang pemburu selepas anak panahnya terjatuh ke tanah, dan semasa dia cuba menajamkan bilahnya, ia terasa masin.

Potensi garam

Pelawat yang berkunjung ke Bario biasanya selain tidak melepas peluang untukmendapatkan beras Bario yang terkenal, kunjungan telaga garam unik itu bagaikan satu kemestian.

Pemandu pelancong ‘freelance’ Bryan Dickson, 69, berpendapat persekitaran dan akses ke telaga ini perlu dinaik taraf bagi meningkatkan lagi potensinya sebagai kawasan tarikan ramai.

Baru-baru ini beberapa ‘petugas kerajaan’ dilihat datang ke kawasan telaga ini untuk mengukur tanah, dan Bryan difahamkan sebuah kompleks lebih sempurna sedang dirancang untuk dibangunkan di kawasan berkenaan tidak lama lagi, untuk persekitaran yang lebih selesa.

Dalam kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri AhmadShabery Chek ke telaga garam itu April lepas, beliau mengumumkan peruntukan khusus RM350,000 bagi tujuan menambah baik kawasan telagaini.

Beliau melihat potensi besar pemasaran garam bukit yang unik ini, yang menurutnya mempunyai khasiat tersendiri kerana mempunyai kandungan iodin tinggi bagi merawat penyakit-penyakit seperti tiroid.

Pasaran bagi produk Bario

Bagi mereka yang tidak sempat berkunjung ke kawasan kilang padi, ladang nanas atau telaga garam di Bario disebabkan kesempitan waktu, pastinya segala bahan-bahan yang menjadi keluaran utama Bario ini ada dijual di lapangan terbangnya, namun seperti biasa harga barang-barang di lapangan terbang pastinya tidak sama.

Tiap satu “silinder” garam ini sepanjang kira-kira satu kaki dijual dengan harga antara RM10 dan RM15, namun apabila sampai di lapangan terbang harganya mungkin sudah mencapai antara RM15 dan RM20, dan apabila tiba di Miri harganya boleh melonjak lebih RM20.

Seperkara lagi yang menjadi isu mengenai garam bukit yang ditemui di luar Bario adalah saiz silindernya mungkin telah dikecilkan berbanding muatan buluh standard biasa di Bario untuk keuntungan lebihbesar peniaga, dan ketulenan garam itu juga mungkin diragui.

Tinjauan di pasar-pasar Miri mendapati kelibat garam ini boleh dilihat di merata-rata kedai yang menjual bahan-bahan untuk masakan, dan para peniaganya tidak lokek memberikan penerangan mengenai garam yangdibungkus rapi dalam bentuk silinder dengan daun dan diikat dengan helaian buluh.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata garam ini berbeza daripada garam biasa kerana jika digunakan dalam masakan, selain lebih enak, makanan itu juga didapati tahan lebih lama.

Garam itu juga diperakui ramai boleh merawat pelbagai penyakit,walaupun sejujurnya beliau sendiri tidak berapa tahu penyakit apa yang boleh disembuhkan, atau sejauh mana keberkesanannya.

Ditanya mengapa harganya berbeza dari harga di Bario, jawapannya “Tentulah, naik moto (kereta) 12 jam baru sampai Bario.”

Seorang suri rumah yang ditemui Suzana Chen, 43, pula berkata beliau sudah biasa menggunakan garam bukit untuk setiap masakannya, kerana rasanya yang berbeza daripada garam biasa.

Menurutnya garam itu juga lebih dipercayai kerana ia diproses menggunakankaedah tradisional yang lebih bersifat “semulajadi”, tanpa membabitkan sebarang bahan kimia tambahan.

Kurang promosi

Rian berkata disebabkan masalah akses dan ketiadaan saluran promosiyanglebih sempurna, kehebatan garam ini tidak banyak diketahui ramai sebelum ini, namun menerusi ledakan teknologi maklumat yang membawa media sosial ke pelosok dunia, kelebihan garam ini semakin disedari ramai.

Beliau berkata ini ditambah dengan promosi hebat kerajaan negeri dan dari mulut ke mulut, atau lebih tepat menerusi aplikasi Whatsapp, FB, Twitter dan sebagainya, permintaan kepada garam ini dilihatnya semakin melonjak.

Persoalan juga timbul, sekiranya prasarana sekitar telaga garam itu sudah dibaiki, kelebihannya tambah dikenali ramai, akses pasaran jadi lebih baik, dan permintaan terus melonjak; mampukah telaga kecil itu memenuhi permintaannya nanti.

Biarlah soalan itu dijawab apabila tiba masanya nanti, misi yang lebih terserlah ketika ini adalah bagaimana Bario perlu dibangunkan, dan selain keindahan panorama tanah pergunungan yang menyegarkan,tanaman nanas dan padi bukitnya, telaga garam ini adalah satu lagi tempat unik yang boleh ditawarkan Bario. – Bernama