Gareth Gates buat kejutan

Gareth Gates buat kejutan

SEWAKTU menjuarai program realiti terkemuka United Kingdom (UK), Pop Idol pada 2002, Gareth Gates meraih populariti mendadak. Namanya menjadi perhatian banyak pihak apatah lagi hadir dengan pakej lengkap.

Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila penyanyi berusia 32 tahun ini tiba-tiba menyepikan diri.

Kehadirannya ke Malaysia baru-baru ini bagi menjayakan acara berprestij A Journey Through Time anjuran Starhill Gallery mengejutkan ramai peminat. Walaupun ia acara tertutup kemunculannya dinanti ramai.

Meskipun sudah lama tidak beraksi di pentas berskala besar, vokal Gates masih berbisa. Melihat kemampuannya, terbukti dia memang dilahirkan sebagai penghibur yang hebat. Setiap kali namanya meniti di bibir pengacara malam itu, tetamu pasti bersorak keriangan.

Sebaik muncul di pentas, dia yang tampak lebih matang dan profesional tidak menghampakan peminat. Padahal, ia cuma pentas kecil dan hanya perlu menghiburkan tetamu untuk acara makan malam.

Gareth Gates menghiburkan peminat di Malaysia melalui persembahan A Journey Through Time anjuran Starhill Gallery.
Gareth Gates menghiburkan peminat di Malaysia melalui persembahan A Journey Through Time anjuran Starhill Gallery.

Pendek kata, persembahannya setaraf konsert besar. Meskipun sekadar menyampaikan tujuh lagu, ia cukup bagi mengubat kerinduan peminat tegarnya.

Sepanjang persembahannya, bukan sahaja wanita muda bahkan yang berusia pun tidak melepaskan peluang menari di hadapan pentas. Acara yang pada awalnya bersifat formal tiba-tiba bertukar menjadi lebih santai.

Gates juga tidak menghampakan peminat yang mahu bergambar dengannya. Sesekali dia akan turun pentas dan berjalan di setiap meja sambil menyanyi.

Jika ada yang meragui kemampuan vokal penyanyi yang popular dengan lagu Say It Isn’t So ini, lupakan saja kerana dia masih hebat. Malah caranya mengawal vokal semakin matang berbanding awal kemunculan. Dalam acara itu, Gates bukan sekadar menyanyi dengan ditemani ‘minus one’, dia sempat mempamerkan kehebatannya bermain piano.

Gates mengakui rindu menghiburkan peminatnya di negara ini. Jika masih ingat, Sebelum ini, dia pernah berduet dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

“Seronoknya dapat kembali ke Malaysia. Apa khabar orang Kuala Lumpur?” katanya sebelum memulakan persembahan. Antara lagu yang dipersembahkan malam itu adalah Anyone Of Us (Stupid Mistake) dan ia mendapat tepukan gemuruh peminat.

Gates juga tidak ketinggalan membuai emosi penonton dengan vokal merdunya menerusi lagu All Of Me nyanyian asal John Legend. Begitu juga lagu kemenangannya di Pop Idol, Unchained Melody berjaya mencairkan hati penonton.

Dia turut menghiburkan tetamu dengan lagu hit Suspicious Minds.

Gates nampak cukup selesa dan semakin terbuka berdansa dengan tetamu terutama peminat wanita.

ARTIKEL YANG SAMA