Garis pandu mula perniagaan

Garis pandu mula perniagaan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb – Terdapat perkara-perkara utama yang perlu dibuat dan dipastikan ada sebelum memulakan perniagaan di Negara Brunei Darussalam walaupun peniadaan lesen perniagaan bagi sebahagian aktiviti-aktiviti perniagaan di bawah jadual Akta Lesen Perniagaan (Penggal 127), 2015, yang telah dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2016 yang lalu.

Sebelum memulakan perniagaan, para peniaga yang dikecualikan lesen perniagaan perlu memastikan bahawa nama perniagaan dan syarikat sudah didaftarkan di Bahagian Pendaftaran Nama Perniagaan dan Penubuhan Syarikat (ROCBN), Kementerian Kewangan.

Memastikan tempat perniagaan memenuhi syarat-syarat khas tanah atau telah mendapat kebenaran agensi kerajaan yang mengawalnya dan memastikan bangunan atau tempat perniagaan telah dikeluarkan kebenaran oleh Bahagian Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan garis panduan, nasihat dan kebenaran agensi-agensi kerajaan yang mengawal jenis perniagaan yang akan diusahakan dari sudut kebersihan dan keselamatan tempat berniaga, pengambilan pekerja dan pemeriksaan kesihatan pekerja, keselamatan makanan dan produk-produk, kemasukan barang-barang yang akan diniagakan dan keperluan pendaftaran barang-barang yang akan diniagakan.

Para panel yang terdiri daripada wakil agensi-agensi kerajaan, diketuai oleh Haji Muhd Sunadi, ketika menyampaikan taklimat.
Para panel yang terdiri daripada wakil agensi-agensi kerajaan, diketuai oleh Haji Muhd Sunadi, ketika menyampaikan taklimat.
Para peniaga yang hadir mendengar taklimat mengenai Garis Panduan Memulakan Jenis Perniagaan Yang Dikecualikan Dari Lesen Perniagaan di Dewan Teater Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama Berakas.
Para peniaga yang hadir mendengar taklimat mengenai Garis Panduan Memulakan Jenis Perniagaan Yang Dikecualikan Dari Lesen Perniagaan di Dewan Teater Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama Berakas.

Perkara ini telah dijelaskan dalam taklimat mengenai Garis Panduan Memulakan Jenis Perniagaan Yang Dikecualikan Dari Lesen Perniagaan di Dewan Teater Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama Berakas yang dihadiri oleh para peniaga.

Taklimat-taklimat telah disampaikan oleh wakil-wakil agensi kerajaan dengan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhd Sunadi bin Haji Buntar.

Taklimat turut menekankan bahawa terdapat agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab dalam mengawal jenis perniagaan yang dikecualikan daripada lesen perniagaan ini dalam bidang kawalannya yang tertentu.

Agensi-agensi berkenaan termasuk Polis Diraja Brunei; Jabatan Tenaga dan Perindustrian di bawah Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Kastam dan Eksais Diraja; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Buruh dan juga Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan; Bahagian Kawalan Makanan Halal, Bahagian Kawalan Akidah dan Bahagian Penguatkuasaan Agama di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama; jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pembangunan iaitu Bahagian Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Tanah, Jabatan Jalan Raya di Jabatan Kerja Raya, dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi; Jabatan Kemajuan Pelancongan di bawah Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan; jabatan-jabatan di bawah Kementerian Perhubungan iaitu Jabatan Pengangkutan Darat dan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info Komunikasi (AiTi); Kementerian Kesihatan; dan Bahagian Pendaftaran Nama Perniagaan dan Penubuhan Syarikat (ROCBN), Kementerian Kewangan.

Jenis perniagaan yang telah dikecualikan daripada lesen perniagaan tersebut seperti kedai roti, kedai makan, tempat kunjungan dan hiburan orang ramai, penjaja, peniaga kenderaan bermotor, stesen minyak termasuk menyimpan minyak dan bahan-bahan mudah terbakar, kedai runcit, stor kayu dan kilang, serta bengkel.

Manakala itu, aktiviti perniagaan yang tidak termasuk dalam senarai berkenaan masih memerlukan kebenaran atau kelulusan agensi-agensi lain. Antaranya seperti aktiviti pembinaan, pendidikan swasta, klinik swasta, pusat penjagaan, institusi kewangan, konsultasi, perkapalan, pelancongan, guaman, perhubungan/info komunikasi dan pengurusan letak kereta swasta.

Sementara itu, aktiviti di bawah perniagaan kecantikan dan kesihatan juga masih memerlukan lesen perniagaan seperti mengurut, sauna, spa termasuk mandian air panas atau sejuk, gimnasium, aerobik, aromaterapi, melangsingkan badan, rias tangan dan kuku, refleksologi, salon rambut, dan apa-apa aktiviti yang berkaitan sebagaimana yang mungkin ditentukan oleh pihak berkuasa melesenkan.

ARTIKEL YANG SAMA