Garis panduan guna kemudahan sukan negeri dirangka

Garis panduan guna kemudahan sukan negeri dirangka

KUCHING, 15 Sept – Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak sedang merangka garis panduan bagi penggunaan kemudahan sukan di negeri ini agar kemudahan tersebut dapat digunapakai dan dimanfaatkan sebaik yang mungkin.

Menterinya Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata garis panduan tersebut akan turut merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan sukan tersebut.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan garis panduan tersebut akan dapat dibentangkan kepada Kabinet negeri yang akan diadakan pada Januari tahun depan (2017).

“Untuk menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak baru-baru ini, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM400 juta untuk menaik taraf gelanggang sedia ada selain membina kemudahan sukan baharu.

“Dua perkara yang menjadi cabaran kami sekarang ialah bagaimana untuk menggunakan gelanggang tersebut supaya tidak menjadi ‘gajah putih’. Selain garis panduan untuk penggunaan tersebut yang telah dibincangkan, ia dirangka untuk kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.

Manyin berkata ada antara gelanggang tersebut bertaraf antarabangsa seperti Pusat Akuatik Pandelela Rinong dan Lapang Sasar Menembak Sarawak di Kuching serta gelanggang badminton di Kompleks Sukan Bersepadu Sibu.

“Atlet kita perlu gunakan kemudahan sukan ini sebaik mungkin, sekali gus mencapai hasrat kita untuk bersaing menjadi juara keseluruhan pada Sukma 2018 yang akan diadakan di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Dialog Bersama Persatuan Sukan dan Belia Negeri Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Tetap Kementerian, Kameri Affandi. – Bernama