Garis tiga perkara perkasa PKS

Garis tiga perkara perkasa PKS

Oleh Danial Norjidi

 

pg03_160325_cBANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe) yang baru dilantik, Loo Yau Soon (Soon Loo) (gambar) menggariskan tiga perkara penting yang mesti dilakukan oleh agensi tersebut dalam jangka pendek dan jangka sederhana.

“Yang pertama, kita perlu memahami dan membantu menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerana kita berada di pihak mereka.

“Kedua, kita perlu membawa masuk amalan terbaik yang telah kita lihat di rantau dan tempat lain serta berupaya memikir dan merancang bersama orang kita di mana mereka boleh mempelajari daripadanya seperti pemasaran, kewangan, jualan atau e-dagangan, supaya sekurang-kurangnya kita boleh bersaing setanding dengan apa yang sedang dilakukan oleh rantau sekarang.

“Manakala perkara ketiga adalah, mula menempatkan sebahagian daripada PKS kita supaya berorientasikan eksport dan bersedia untuk menembusi pasaran luar negara.

Jika kita tidak mempunyai perkara ketiga ini, kita akan mencatat KDNK yang sama dan tidak ada apa-apa yang akan berubah.”

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual di sini semalam.

Menurut Soon Loo, tugas DARe adalah satu tugas kita semua, seluruh kumpulan DARe, Jabatan Tenaga dan Industri, Jabatan Perdana Menteri dan semua kementerian berkenaan perlu bekerjasama serta PKS untuk menjayakannya.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua orang terlebih dahulu supaya; “kita boleh menang bersama.”

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam mengumumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah mengurniakan titah perkenan bagi pelantikan Soon Loo sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif bagi DARe berkuat kuasa mulai 13 Jamadilakhir 1437H bersamaan dengan 22 Mac 2016.

Menurut Soon Loo, kini adalah peluang yang baik di mana kita berada dalam salah satu pasaran berpotensi terbesar di dunia iaitu ASEAN dengan 600 juta orang penduduk, dan sebagai sebahagian daripadanya, kita mesti memanfaatkan peluang itu dengan sebaiknya.

“Maka dua perkara pertama adalah, memastikan asas ditubuhkan dan seterusnya adalah untuk keluar,” katanya sambil menyatakan keyakinan terhadap kemajuan yang dicatat oleh DARe setakat ini memandangkan ia hanya ditubuhkan pada Januari.

“Saya fikir, kumpulan DARe telah melakukan satu tugas luar biasa untuk memulakan usaha menyepadukan pelbagai fungsi kementerian berlainan, berhubung dengan PKS, memahami peranan mereka.

“Lebih banyak yang boleh dilakukan, dan itulah perjalanan yang akan diharungi oleh kita,” tambahnya lagi.

Soon Loo merupakan Pengarah Urusan Seri Venture Capital, sebuah firma yang melabur dalam syarikat-syarikat Brunei yang mempunyai cita-cita pengembangan serantau. Tidak lama kemudian beliau menjadi ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat awam dan swasta di Brunei, China, dan Singapura, termasuk menjadi pengerusi dan ahli lembaga syarikat Asia yang tersenarai dalam bursa saham dengan permodalan pasaran S$2 bilion.

Selain itu, beliau juga merupakan Naib Presiden Serantau bagi Kumpulan AXA di Asia Pasifik di mana beliau mengurus pembangunan dan strategi untuk pejabat serantau yang menyelia syarikat Kumpulan AXA di 11 buah negara di Asia Pasifik dengan jumlah perniagaan bernilai AS$9.5 bilion.

Beliau juga telah diberi kepercayaan untuk menguruskan perniagaan insurans runcit talian umum bagi Kumpulan ACA di Singapura yang bernilai $120 juta.

Soon Loo yang merupakan lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Harvard Business School, memulakan kerjaya dalam teknologi dan pengasas bersama sebuah syarikat teknologi di Silicon Valley yang menjana lebih AS$37 juta daripada modal usaha niaga.

Firma itu kemudian diiktiraf sebagai 20 syarikat terkemuka teknologi baru muncul untuk persidangan NDA bagi Red Herring Magazine.

Soon Loo telah menerima anugerah ‘Sepuluh Orang Muda Cemerlang Dunia’ (TOYP) yang dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) dan menerima penghormatan itu di Rio de Janeiro pada tahun 2013.

Anugerah TOYP JCI yang telah berusia 30 tahun, bertujuan untuk mengiktiraf warga dunia aktif yang cemerlang dalam bidang yang mereka pilih dan membuat perubahan positif dalam masyarakat.

Penerima anugerah tersebut sebelum ini termasuklah Bill Clinton, John F. Kennedy, dan Jackie Chan, semua dianugerahkan sebelum usia 40 tahun.

ARTIKEL YANG SAMA