Garuda Airlines dominasi WABC

Garuda Airlines dominasi WABC

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Kejohanan Badminton Syarikat Penerbangan Dunia 2015 (WABC) memasuki hari ketiga hari ini dengan pasukan yang menempah tempat ke peringkat akhir ialah Garuda Airlines menentang Singapore Airlines bagi Kategori Beregu Lelaki.

Turut memasuki peringkat akhir ialah beregu wanita Garuda Airlines yang berentap sesama sendiri, Garuda Airlines menentang Thai Airways bagi Kategori Perseorangan Lelaki, Thai Airways menentang Garuda Airlines bagi Kategori Beregu Veteran Lelaki Garuda Airlines menentang Singapore Airlines bagi Kategori Beregu Campuran.

Kejohanan yang bermula sejak 18 Ogos 2015 di Dewan Mesra, Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC) itu disertai oleh AirAsia, BIMAN Airlines, Cathay Pasific, Garuda Airlines, Malaysia Airlines, MASWings, Royal Brunei Airlines, Singapore Airlines dan Thai Airways.

Sejajar dengan kejohanan itu, acara beregu campuran telah diperkenalkan hari ini sebagai salah satu daripada perlawanan persahabatan di kalangan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian.

Suasana pertandingan pada hari ketiga Kejohanan Badminton Syarikat Penerbangan Dunia 2015 di Dewan Mesra RBRC.
Suasana pertandingan pada hari ketiga Kejohanan Badminton Syarikat Penerbangan Dunia 2015 di Dewan Mesra RBRC.

Kejohanan itu juga diadakan bagi menyambut ulang tahun ke-25 Royal Brunei Airlines dan penjenamaan semula kelab rekreasi itu kepada delegasi kejohanan.

Seramai 110 pemain dari sembilan syarikat penerbangan telah mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang telah diadakan buat pertama kali pada 1977 oleh Scandinavian Airlines System bagi merebut Piala Viking di Copenhagen.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dijemput untuk hadir beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan peringkat akhir pada 22 Ogos di Galeri RBRC bermula dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

ARTIKEL YANG SAMA