Gary Neville terus kempunan

Gary Neville terus kempunan

MADRID, 11 Jan (AFP) – Rekod tanpa kemenangan Gary Neville dalam saingan La Liga sejak mengambil alih Valencia, bulan lalu terus berpanjangan ketika dua gol lewat permainan oleh Jonathas membantu Real Sociedad mengatasi skuad kendaliannya 2-0 semalam.

Anak buah Neville menunjukkan petanda positif ketika mengikat Real Madrid 2-2 minggu lalu dan kemenangan besar 4-0 ke atas Granada dalam Copa del Rey pertengahan minggu ini, tetapi kini terus kemarau dua bulan tanpa sebarang kemenangan liga, sekali gus hampir pasti menamatkan harapan mereka untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

“Ia satu tamparan hebat, kami memerlukan momentum, tetapi kami bermain di bawah tahap sebenar yang ditetapkan buat pasukan,” kata Neville.

“Kami perlu keluar dan mula mencatatkan kemenangan. Saya hanya boleh meminta penyokong untuk terus bersabar. Bilik persalinan sangat kecewa, saya juga, tetapi esok (hari ini) adalah permulaan segar dan kami harus segera menanamkan kepercayaan peminat.”

Penjaga gol Valencia, Jaume Domenech sudah membantu skuadnya untuk terus kekal bersaing dalam sebahagian besar aksi selepas percubaan awal kedua-dua pasukan menemui palang gol.

Gary Neville dihampakan lagi apabila skuadnya gagal untuk memenangi perlawanan liga.
Gary Neville dihampakan lagi apabila skuadnya gagal untuk memenangi perlawanan liga.

Bagaimanapun, kesilapan Domenech menghukum Valencia apabila dia gagal menampan kemas bola lantunan hantaran lintang Carlos Martinez dan Jonathas menyambar bola itu daripada jarak dekat untuk meletakkan skuad tuan rumah di depan 12 minit sebelum tamat aksi.

Kombinasi dua pemain itu sekali lagi menjadi empat minit kemudian tatkala penyerang kelahiran Brazil itu mudah menanduk masuk bola yang dilorongkan pertahanan kanan itu ke penjuru atas gawang.

Kekalahan itu menyaksikan Valencia tergelincir ke tangga ke-10, dipisahkan 16 mata dengan empat pasukan kelompok utama selepas Villarreal mengalahkan Sporting Gijon 2-0 dalam aksi sebelum itu.

Cedric Bakambu meledak kedua-dua gol untuk Villarreal untuk merapatkan jurang kepada tiga mata terhadap Barcelona dan ia adalah kemenangan keenam berturut-turut La Liga dicatat mereka.

ARTIKEL YANG SAMA