Gas bocor punca kebakaran

Gas bocor punca kebakaran

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Satu kebakaran kecil telah berlaku di salah sebuah restoran di Bangunan Gadong Kompleks kira-kira jam 9 pagi, kelmarin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui Balai Bomba Bandar Seri Begawan melaporkan bahawa pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 9:43 pagi.

Seramai lapan orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Pegawai Balai Murni bin Misir dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan dengan dua buah jentera bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati gas bocor mengeluarkan api, membakar sebahagian dapur Restoran ISC Lau Di Fang itu dan satu unit penghawa dingin jenis split.

Sebelum anggota bomba sampai, api telah pun dipadamkan oleh pekerja restoran dengan menggunakan tiga alat pemadam api jenis dry powder dan seterusnya memindahkan tong tersebut ke tempat yang selamat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, punca kebakaran dipercayai daripada kerosakan di bahagian hos LPG yang koyak dan mengalami kebocoran. Kerugian akibat kejadian itu dianggarkan kira-kira $3,000.

Sehubungan itu, sebagai langkah keselamatan, orang ramai disarankan untuk menggunakan komponen dapur memasak seperti hos dan kepala gas (regulator) yang disyorkan oleh pihak Brunei Shell Marketing (BSM).

ARTIKEL YANG SAMA