Gasquet tarik diri

Gasquet tarik diri

ROTTERDAM, Belanda, 10 Feb – Richard Gasquet memberi tamparan baru buat kejohanan Tenis Dunia Rotterdam apabila pemain pilihan itu menarik diri sebelum perlawanan pembukaannya akibat kecederaan pangkal paha.

Penarikan diri itu berlaku seminggu selepas Roger Federer tidak dapat bermain disebabkan perlu menjalani pembedahan lutut yang menyebabkan dia terlepas saingan ATP sekurang-kurangnya sebulan.

Pemain Perancis, Gasquet itu berkata dia rasakan kesakitan sehari sebelum memenangi kejohanan Montpellier buat kali ketiga pada penghujung minggu lalu.

Pemain berumur 29 tahun dan berada di ranking 13 dunia tiba di Rotterdam dengan harapan sempat sembuh tetapi berkata dia merasa lebih sakit dan tidak ada pilihan selain untuk menarik diri dalam kejohanan dalam dewan itu.

Marin Cilic yang juga pemain pilihan kedua kini mengambil alih kedudukan sebagai pemain pilihan utama kejohanan di mana dia menamatkan perlawanan tahun 2014 di tempat kedua.

Gasquet ketika dalam satu perlawanan. Gasquet menarik diri sehari sebelum perlawanan pembukaan di kejohanan Rotterdam Tenis Dunia akibat kecederaan pangkal paha. – AFP
Gasquet ketika dalam satu perlawanan. Gasquet menarik diri sehari sebelum perlawanan pembukaan di kejohanan Rotterdam Tenis Dunia akibat kecederaan pangkal paha. – AFP

Gasquet berkata dia berharap dapat bermain di Marseille pada bulan ini.

“Sudah tentu saya kecewa, saya mahu bermain di sini,” kata Gasquet.

“Adalah mustahil untuk saya bermain.

“Jika saya tidak rasa 100 peratus, adalah lebih baik tarik diri. Ini adalah acara besar untuk saya, saya sedih tidak dapat bermain di sini. Ia sukar buat saya tetapi saya tidak mempunyai pilihan.”

Dalam pusingan pertama hari ini, Gilles Muller menewaskan Andreas Seppi 4-6, 7-6 (7/2), 6-4 untuk melangkah ke pusingan seterusnya bertemu Cilic. – Agensi