Gaurika atlet paling muda di Rio

Gaurika atlet paling muda di Rio

pg23_160703_b

RIO DE JANEIRO, 2 Ogos – Perenang Nepal Gaurika Singh (atas) yang sudah biasa bersaing di peringkat antarabangsa pada usia 13 tahun, bakal menjadi atlet termuda di Olimpik Rio apabila dia beraksi dalam acara saringan 100 meter kuak lentang Ahad ini.

“Ia amat menarik, rasa seperti tidak percaya,” kata Gaurika yang akan mencecah usia 13 tahun 255 hari.

Ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila remaja perempuan yang bersekolah di London itu – di mana dia mewakili kelab Inggeris Barnet Copthall – tidak gentar dengan saingan bakal dihadapinya di Rio.

Pengalamannya jauh lebih dahsyat apabila dia antara yang terselamat ketika gempa bumi di Nepal pada tahun 2015 yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa.

“Ia amat menakutkan,” kata Gaurika berkenaan pengalaman bersama ibunya, Garima dan adik lelakinya, Sauren ketika mereka berada di Nepal untuk kejuaraan renang kebangsaan.

Keluarga berkenaan yang berada di tingkat lima sebuah pangsapuri di Kathmandu, berlindung di bawah meja se-belum menggunakan tangga untuk meninggalkan bangunan sebaik berlaku gempa.

“Mujurlah ia bangunan baru, jadi ia tidak runtuh seperti bangunan-bangunan lain di sekeliling,” katanya.

Gaurika menyertai acara 100 meter kuak lentang di Kejuaraan Dunia di Kazan, Russia Ogos tahun lalu dan memenangi empat pingat, tiga gangsa dan satu perak, di Sukan Selatan Asia di India pada Februari. – AFP