Gaya Barca berkembang

Gaya Barca berkembang

YOKOHAMA, Jepun, 15 Dis (AFP) – Lionel Messi percaya pasukan Barcelona sekarang mempunyai lebih banyak senjata berbanding pasukan itu yang dikendalikan oleh Pep Guardiola pada 2009 dan mahu membuktikannya dengan memenangi Piala Dunia Kelab buat kali ketiga.

Gergasi dari Sepanyol itu, yang menjulang Liga Juara-Juara, La Liga Sepanyol, Copa del Rey dan Piala Super Eropah tahun ini, akan menentang Guangzhou Evergrande dari China Khamis ini untuk menempah tempat ke final di Yokohama 20 Disember nanti.

“Ia adalah salah satu persaingan pilihan saya,” kata Messi, yang menjadi pilihan untuk memenangi Ballon d’Or kelimanya Januari nanti. “Ia memberikan anda peluang untuk menamatkan tahun ini dengan cara yang terbaik. Gelaran-gelaran ini legasi yang tidak dapat dipadamkan dalam sejarah kelab ini. Ia sesuatu yang penting.

“Tahun ini adalah tahun luar biasa,” pemain dari Argentina itu memberitahu fifa.com dalam persediaan bagi pertembungan Barca menentang Guangzhou yang dibimbing Luis Felipe Scolari.

Pemain Barca, Lionel Messi (dua kanan) sedang berlatih bersama rakan sepasukan di Yokohama sebagai persediaan untuk Piala Dunia Kelab menentang Guangzhou Evergrande, Khamis ini. – AFP
Pemain Barca, Lionel Messi (dua kanan) sedang berlatih bersama rakan sepasukan di Yokohama sebagai persediaan untuk Piala Dunia Kelab menentang Guangzhou Evergrande, Khamis ini. – AFP

“Ketika itu apabila kami memenangi segalanya di bawah Gaurdiola, ia dilihat sukar untuk diulangi. Kami tidak pasti jika boleh menghampiri kedudukan itu sekali lagi. (Tetapi) kami di sini. Sekarang apa yang perlu kami lakukan adalah menamatkan tahun dengan cara sebaik mungkin dan menjadikannya sukar untuk dilupakan.”

Kecuali kekecewaan dalam separuh akhir pertama esok di antara pemegang Piala Libertadores, River Plate dan Sanfree Hiroshima dari Jepun, Messi akan berdepan dengan pasukan yang hampir menandatanganinya ketika remaja di Argentina.

Menariknya, Messi hanya sekali beraksi menentang sebuah kelab dari Argentina, apabila Barcelona menewaskan Estudiantes 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Dunia Kelab 2009. Dua tahun kemudian, Barca menewaskan Santos dari Brazil, yang juga memperkenalkan pemain rakan sepasukan sekarang.

“Saya telah menyaksikan perkembangan menarik (Neymar), sebagai seorang pemain bola sepak dan sebagai manusia,” kata Messi. “Sebelum ini dia sudah menjadi pemain terhebat dan sekarang dia lebih lengkap. Ia satu kegembiraan dan kelebihan untuk memilikinya bersama kami.”