GBS FT juara Mini 5-Sebelah

GBS FT juara Mini 5-Sebelah

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – GBS FT mengekalkan rekod tanpa kalahnya dari peringkat kumpulan sehingga ke perlawanan akhir untuk menjulang kejuaraan Kejohanan Mini 5-Sebelah 2015.

Semasa perlawanan akhir, GBS FT memastikan B-Muda FT ‘A’ tidak dapat melunaskan dendam ‘adik’nya B-Muda FT ‘B’ yang terkeluar di peringkat suku akhir menerusi kekalahan 1-3 kepada GBS FT, apabila menewaskan B-Muda FT ‘A’ dengan jaringan 2-0.

Perlawanan penentuan tempat ketiga pula menyaksikan Kheir FC menang persaingan sengit menentang Qahar FT dengan jaringan 3-2.

Sejumlah 16 buah pasukan telah menyertai kejohanan sehari suntuk kelmarin (Ahad, 18 Oktober) di Padang Bolasepak Sekolah Rendah Dato Mahawangsa Lambak berkenaan, yang telah dibahagikan kepada empat buah kumpulan. Hanya dua pasukan teratas di setiap kumpulan mara ke peringkat suku akhir.

Suku akhir pertama menyaksikan B-Muda FT ‘A’ menang tipis 1-0 ke atas Last Card FT, disusuli kemenangan 2-1 Qahar FT ke atas SJ FT. Kemudian GBS FT mengalahkan B-Muda FT ‘B’ 3-1, manakala suku akhir keempat dan terakhir memihak Kheir FT dengan kemenangan 2-1 ke atas All Footballers.

GBS FT mengekalkan rekod tanpa kalah untuk menjuarai Kejohanan Mini 5-Sebelah 2015.
GBS FT mengekalkan rekod tanpa kalah untuk menjuarai Kejohanan Mini 5-Sebelah 2015.

Pada peringkat separuh akhir, B-Muda FT ‘A’ berjaya melangkah ke final apabila menang 8-7 menerusi sepakan penalti penentuan ke atas Qahar FT selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar perlawanan.

Separuh akhir kedua pula memperlihatkan kemenangan 3-2 GBS FT ‘A’ ke atas Kheir FC untuk GBS FT ‘A’ membuat janji temu dengan B-Muda FT ‘A’ di gelanggang final.

Juara membawa pulang hadiah wang tunai $300, sementara naib juara menerima hadiah wang tunai $150. Tempat ketiga berpuas hati dengan hadiah wang tunai $60, manakala tempat keempat tidak pulang dengan tangan kosong apabila mendapat hadiah sebiji bola futsal.

ARTIKEL YANG SAMA