GEC fokus promosi kemajuan ekonomi

GEC fokus promosi kemajuan ekonomi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Perwakilan daripada kumpulan belia Brunei Enterprise dan Biro Profesional Muda Malaysia, baru-baru ini, telah membuat pertemuan di ibu negara untuk mempertimbangkan dan merangka kertas dasar Brunei yang menumpukan pada tema untuk mempromosi kemajuan ekonomi menerusi keusahawanan dalam Kongres Keusahawanan Global (GEC).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, GEC merupakan persidangan yang mengumpulkan beribu-ribu usahawan, pelabur, penyelidik dan penggubal dasar dari lebih 160 buah negara dengan matlamat untuk mengenal pasti cara-cara baru membantu para pengasas memulakan dan mencari usaha sama baru di seluruh dunia.

Kini dalam tahun kelapannya, GEC akan diadakan di Medellin, Colombia di antara 14 hingga 17 Mac 2016. Mewakili rombongan Brunei ke GEC ialah Presiden Brunei Enterprise, Awang Abdul Malik Omar, yang akan berkongsi pengalaman Brunei menerusi kertas dasar berkenaan.

Apabila ditanya betapa relevan kertas dasar itu kepada Brunei, anggota utama kumpulan itu, Awang Nadzuan Narawi memberitahu, ia adalah penting untuk melibatkan belia negara menerusi pendekatan paling bawah bagi mendengar idea dan sumbangan mereka apabila ia membabitkan impak kepada masyarakat.

Wakil kumpulan belia Brunei Enterprise dan Biro Profesional Muda Malaysia.
Wakil kumpulan belia Brunei Enterprise dan Biro Profesional Muda Malaysia.

“Merangkumkan belia dalam menghasilkan satu projek, seperti projek kertas dasar ini, boleh membantu mempromosi penglibatan peringkat belia.

Selain daripada itu, kertas dasar boleh berfungsi sebagai satu dokumen untuk dikaji dan dipertimbangkan oleh kerajaan Brunei apabila ia membabitkan peningkatan ekonomi dan persekitaran perniagaan sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, Pathy dari Biro Profesional Muda Malaysia menjelaskan, “GEC boleh menjadi platform yang baik untuk mempengaruhi dasar firma baru dan bertukar-tukar kepakaran secara global.

Ia merupakan satu peluang untuk belia Brunei diterima menerusi Brunei Enterprise berhubung dengan keusahawanan.”

Dalam temu bual dalam talian, Awang Abdul Malik juga berkata, kertas dasar itu juga boleh dikaji oleh negara lain apabila ia membabitkan peningkatan dasar keusahawanan mereka.

Ditanya sebab-sebabnya, beliau menjelaskan, “Sudah tiba masanya untuk Brunei bersikap lebih terbuka dalam berkongsi kepakarannya sendiri kepada negara lain di luar sana. Mereka akan belajar banyak ilmu daripada kami, sama seperti kami belajar daripada mereka.”

Beliau juga berkata, perkongsian kertas dasar Brunei pada skala global boleh mempromosi pemahaman dan kerjasama di antara negara lain.

“Saya mahu negara lain melihat kemajuan warga Brunei, dalam harapan kami semua boleh bekerja bersama dalam membina komuniti masing-masing,” jelas beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA