Gegaran dirasai di ibu negara

Gegaran dirasai di ibu negara

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Gegaran akibat kejadian gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 pada skala Richter yang berlaku Ranau, Sabah pagi ini, turut dirasai di ibu negara.

Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dalam satu kenyataan hari ini berkata, berikutan kejadian gempa bumi berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima berikutan kejadian gempa bumi berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat ada menerima beberapa panggilan kecemasan di Daerah Brunei dan Muara di sekitar Bandar Seri Begawan. Menurut NDMC, gegaran telah dilaporkan di Bangunan RB Plaza, Bangunan cawangan Utama HSBC, Bangunan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB).

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati bahawa bangunan-bangunan tersebut dalam keadaan selamat dan tidak ada mengalami sebarang kerosakan atau keretakan.

NDMC berkata, walaupun tidak ada panggilan kecemasan diterima di daerah-daerah lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Jabatan-jabatan Daerah telah membuat pemeriksaan keselamatan di bangunan-bangunan awam sebagai langkah berjaga-jaga.

Pemeriksaan yang dibuat turut mendapati bahawa bangunan-bangunan berkenaan adalah dalam keadaan selamat.

pg01_150606_b

Sehubungan itu NDMC menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengambil langkah waspada dalam menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sekiranya memerlukan bantuan kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui talian kecemasan 995, Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian kecemasan 993 dan Ambulan melalui talian kecemasan 991.

NDMC dan agensi-agensi berkenaan sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan situasi gempa bumi di Negeri Sabah, dan akan memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Sementara itu, pekerja-pekerja yang bertugas di Bandar Seri Begawan pagi ini memberitahu Media Permata yang mereka telah diarahkan untuk meninggalkan bangunan masing-masing berikutan gegaran gempa bumi yang berlaku di Sabah sekitar jam 7.15 pagi.

Salah seorang daripada mereka berkata, pada masa itu, beliau sedang menjalankan tugas harian. Tidak semena-mena, pegawai-pegawai beliau mengarahkan semua ahli kakitangan yang ada di dalam bangunan untuk beredar keluar dan menuju ke tempat perkumpulan yang disediakan berhampiran Padang Sir Omar Ali Saifuddien.

Menurutnya, beliau menyangka bahawa ini hanya sebagai satu latihan biasa jika kebakaran berlaku. Tambahan lagi beliau menyaksikan beberapa buah jentera besar dari Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berada di tempat kejadian.

pg03_150606_d

“Saya hanya mengetahui kejadian sebenar setelah mendengar percakapan orang ramai yang berada di luar bersama kami menceritakan bahawa mereka merasakan ada gegaran di bangunan tempat mereka bertugas.

“Media sosial turut menyebarkan berita gempa bumi telah berlaku di Kota Kinabalu dan pihak berkuasa telah menjalankan langkah keselamatan untuk menjaga keselamatan pekerja.”

Dalam pada itu, Dayang Nur Ain Afzan Ahmad yang kini berada di Kota Kinabalu untuk bercuti bersama dengan suaminya, turut mengalami pengalaman yang mengerikan.

Ketika dihubungi Media Permata di Kota Kinabalu pagi ini, beliau memberitahu, semasa menikmati sarapan pagi di Hotel Grand Hyatt pada lingkungan jam 7 pagi, beliau merasai satu gegaran berlaku selama lebih 5 saat.

“Walaupun gegaran itu tidak begitu kuat tetapi ianya juga membawa kepada kucar kacir kepada pelanggan yang berada di hotel berkenaan.

“Ini pengalaman buat kali pertama bagi saya setelah menerima berita mengenai gempa bumi semasa bercuti di negara jiran. Apatah lagi mesej dari saudara mara turut menanyakan khabar kami di Kota Kinabalu.”

ARTIKEL YANG SAMA