Gelagat tertuduh kes ceroboh Lahad Datu menggelikan hati hadirin

Gelagat tertuduh kes ceroboh Lahad Datu menggelikan hati hadirin

KOTA KINABALU, 18 Dis (Bernama) – Seorang pegawai polis sekadar tersenyum dan menampar mesra lengan seorang tertuduh apabila beliau diminta membuat pengecaman terhadap seorang individu pada perbicaraan kes pencerobohan Lahad Datu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ketika Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perisikan Operasi) Johor ACP Shahrul Lalli Masduki menuju ke kandang untuk mengecam Tani Lahaddahi, tertuduh segera berdiri. Pegawai polis berkenaan, yang merupakan saksi ke-61 dalam perbicaraan kes tersebut dan mereka yang hadir di kamar mahkamah, berasa lucu dengan reaksi Tani itu, yang tidak memerlukan saksi bersusah payah memeriksa mereka yang berada di dalam kandang tertuduh untuk membuat pengecaman.

Tani juga membalas senyuman saksi itu, yang memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan pencerobohan sekumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada Februari 2013.