Gelanggang silat Kg Belimbing Subok dirasmikan

Gelanggang silat Kg Belimbing Subok dirasmikan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Yang Di-Pertua Persekutuan Pencak Silat Brunei Darussalam (PERSIB), Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji Ludin mengingatkan supaya semua kumpulan silat akur dan patuh kepada garis pandu dan peraturan yang ditetapkan oleh PERSIB selaku badan induk persilatan di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan gelanggang cawangan Kampung Belimbing Subok dan seterusnya meraikan pelajar yang menamatkan Asas Persilatan Silat Betawi 3 hari ini.

Beliau juga mengingatkan supaya setiap penyertaan di luar negara hendaklah diajukan terlebih dahulu kepada persatuan badan induk.

“Persatuan Induk tidak mempunyai halangan kepada mana-mana penyertaan di luar negara akan tetapi adapun tujuan permuzakarahan antara pihak yang terlibat dengan pihak persatuan induk dibuat untuk mengelak jika terdapat isu yang berbangkit di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau sangat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak daripada pesilat muda yang berumur 12 tahun sehingga ke peringkat dewasa untuk belajar seni mempertahankan diri bagi kegunaan semua.

“Ia mengajar kita untuk patuh dan berdisiplin dalam setiap gerakan selain melatih kepekaan mereka kepada usaha mempertahankan seni silat Brunei Darussalam,” katanya apabila menjelaskan antara kegunaan seni pertahanan diri silat.

Di samping itu, beliau turut menasihatkan supaya pihak guru-guru dan pihak tadbir gelanggang berkenaan untuk tidak membelakangi ketua kampung dalam segala perkembangan mera selain menjadikan pengasas silat Betawi sendiri sebagai penasihat kerana padanya mereka masih mampu memberikan buah fikiran yang bernas.