Gelaran Major ke-3 Spieth semakin hampir

Gelaran Major ke-3 Spieth semakin hampir

UNITED KINGDOM, 20 Julai – Berakhir pusingan ketiga golf Terbuka British, Jordan Spieth bersedia untuk muncul pemain kedua dalam sejarah memenangi tiga gelaran Major berturut-turut ketika pemain amatur Ireland di laluan untuk mencipta kejutan terbesar.

Pemain kelahiran Texas, Amerika Syarikat (AS) Spieth menggegar dunia golf tahun ini dengan memenangi gelaran Masters pada April sebelum menjuarai Terbuka AS, bulan lalu.

Kini, pemain berusia 21 tahun itu di ambang untuk meneruskan gemilang dengan menjuarai tiga gelaran Major berturut-turut dengan memenangi Terbuka British. Hanya Ben Hogan, 62 tahun lalu berjaya melakar kejayaan sama malah legenda golf seperti Jack Nicklaus dan Tiger Woods juga hanya hampir melakukannya ketika berada di prestasi terbaik.

Ia menjadi cabaran cukup sukar buat Spieth memasuki pusingan terakhir selepas menamatkan permainan pusingan ketiga dengan 66, hanya ketinggalan satu pukulan di belakang trio pendahulu di St Andrews.

Spieth mengakui sedar dengan cabaran yang menantinya dan berkata dia tidak menerima sebarang keputusan berbanding kemenangan.

“Ketika ini, ia pusingan yang bebas. Saya akan bermain untuk menang, dan tidak bermain untuk kedudukan. Saya tidak mahu tempat ketiga esok. Saya mahu menang,” kata Spieth.

“Jadi, saya akan bermain permainan saya, jelas dengan kesabaran dan kekal bercampur-campur, jika ia tiada di sana pada awalnya, saya akan meneruskan permainan dengan cara untuk keluar di depan. Saya akan bermain permainan golf yang agresif.”

Tiga pemain di depan Spieth ialah juara 2010 dari Afrika Selatan, Louis Oosthuizen, jaguh Australia, Jason Day namun paling mengejutkan, pemain amatur Ireland, Paul Dunne. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA