Gelombang haba jejas gajah di Kuala Gandah

Gelombang haba jejas gajah di Kuala Gandah

TEMERLOH, 18 Mac (Bernama) – Gelombang haba yang melanda negara ketika ini bukan sahaja meresahkan orang ramai, malah turut menyebabkan 27 gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah di sini, dalam keadaan tidak selesa.

Ketua unit gajah pusat itu, Nasaruddin Othman berkata sejak cuaca panas lebih sebulan lalu, haiwan berkenaan dimandikan 10 kali sehari berbanding empat hingga lima kali sebelum ini.

“Nasib baik kami menggunakan air terjun berhampiran sebagai sumber air mandi dan minum gajah-gajah ini. Jika tidak, bil air sudah pasti naik mendadak,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sekumpulan gajah di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Lancang, turut merasai gelombang haba panas apabila terpaksa dimandikan10 kali sehari berbanding empat hingga lima kali sebelum ini bagi memastikan kesihatan gajah tidak terjejas ketika tinjauan Bernama kelmarin. – Bernama

Nasaruddin berkata lebih 70 pekerja bertugas mengawasi haiwan berkenaan setiap hari dan jika mempunyai masa, gajah yang dilihat terlalu tertekan dengan keadaan cuaca itu akan dibawa berendam di sungai kecil di pusat konservasi itu.

“Jika mahu dibawa semua, ia agak sukar kerana haiwan ini turut mempunyai pelbagai ragam selain perlu dikawal. Sampai di sungai gajah yang berkenaan akan dibenarkan bermain air, berendam dan minum,” katanya.

Nasarudin berkata dalam keadaan cuaca panas yang melampau ketika ini, kakitangan pusat itu juga sentiasa memantau dan memastikan kesihatan gajah tidak terjejas.