Gelombang haba ragut 335 jiwa

Gelombang haba ragut 335 jiwa

NEW DELHI, 24 Mei (Bernama) – India kini berdepan fenomena gelombang haba yang buruk di kebanyakan bandar dengan 335 orang dilaporkan maut sejak tiga hari lalu dengan suhu paling panas dicatatkan di negeri Andra Pradesh dan Telangana.

Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD) daerah Khammam di Andra Pradesh merekodkan suhu paling panas iaitu 48 darjah selsius, lebih tinggi daripada 47.2 darjah selsius yang dicatat di kawasan yang sama pada 1947.

Di negeri Andra Pradesh, 75 kematian dicatat sementara 60 dilaporkan mati di Telangana.

Menurut para pegawai di kedua-dua negeri, majoriti yang mati akibat keadaan itu ialah buruh.

Sehubungan itu orang ramai diingatkan supaya sentiasa berada di dalam rumah dengan IMD meramalkan cuaca akan lebih buruk dalam tempoh beberapa hari lagi.

Beberapa orang kanak-kanak bermain-main di sebuah kolam berhampiran India Gate di tengah-tengah suhu yang semakin meningkat di New Delhi pada 24 Mei 2015. – AFP
Beberapa orang kanak-kanak bermain-main di sebuah kolam berhampiran India Gate di tengah-tengah suhu yang semakin meningkat di New Delhi pada 24 Mei 2015. – AFP

Gelombang haba dijangka melanda beberapa negeri yang lain awal esok di Madhya Pradesh, Vidarbha, Bihar dan Jharkhand, kata jabatan itu.

Stesen-stesen dan pusat peranginan atas bukit yang menjadi destinasi popular di kalangan rakyat India pada cuti musim panas juga mengalami suhu lebih 40 darjah. Cuti musim panas di India bermula minggu lepas dan berakhir pertengahan Julai.

Agensi-agensi pelancongan di New Delhi melaporkan bilik-bilik penginapan di stesen-stesen bukit hampir habis ditempah untuk tempoh beberapa minggu akan datang.

Akhbar tempatan Times of India pula melaporkan dengan suhu sekitar 45 darjah, kebanyakan kawasan di Rajasthan dan Jaipur menghadapi masalah kekurangan bekalan air yang serius. Dalam perkembangan berkaitan di sini semalam, suhu mencecah 46.2 darjah selsius dan pada hari ini pada pukul 2 petang (waktu tempatan) mencatat suhu maksimum 45.2 selsius yang dicatatkan IMD.

Keadaan menjadi lebih buruk dan sukar kepada penduduk Delhi berikutan masalah bekalan elektrik yang sering terputus.

Bagaimanapun, sedikit kelegaan berikutan ramalan IMD akan berlakunya ribut debu dan ribut petir di beberapa kawasan di bandar raya ini esok.