Gema dikir terus semarak

Gema dikir terus semarak

Oleh Anwar Rosly dan Nurfadhli AHK

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Gema dikir menjelang sambutan Maulud Nabi terus bergema di seluruh negara hari ini, dengan beberapa kementerian dan pejabat daerah serta kumpulan, melaungkan pujian buat Rasulullah S.A.W di beberapa masjid.

Menyemarakkan laungan dikir di Temburong ialah rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang mengadakan Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Utama Mohd Salleh, Pekan Bangar.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid.

Rombongan KHEU akan meneruskan lagi majlis serupa ke Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait pada 21 Disember ini.

Sementara itu, di Daerah Belait, bacaan dikir diadakan di Masjid Zainab, Lumut dihadiri oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman yang juga mengetuai laungan dikir sejurus selepas menunaikan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah diiringi oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait Haji Asminan bin Haji Awang Chuchu.

Majlis dikir di Masjid Zainab menyemarakkan lagi sambutan.
Majlis dikir di Masjid Zainab menyemarakkan lagi sambutan.
Hadir sama menyertai dikir di Daerah Belait ialah Haji Haris (dua dari kiri).
Hadir sama menyertai dikir di Daerah Belait ialah Haji Haris (dua dari kiri).
Dikir diketuai oleh kumpulan dikir Masjid SOAS.
Dikir diketuai oleh kumpulan dikir Masjid SOAS.
Warga Bangladesh dan ahli jawatankuasa masjid bersama-sama menyemarakkan malam dikir Maulud Nabi.
Warga Bangladesh dan ahli jawatankuasa masjid bersama-sama menyemarakkan malam dikir Maulud Nabi.

Turut hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohd Yusof bin Dulamin juga selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Awang Haji Mohd Shafiee bin Ahmad selaku Ketua Kampung Lumut I, Penolong Pegawai Daerah Belait Awang Hasmiron bin Taib pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu dan ketua kampung serta para jemaah masjid.

Majlis ini diadakan adalah sebagai tanda kasih terhadap Baginda S.A.W di samping ianya juga untuk menambahkan penghayatan beragama serta menyiarkan kemuliaan Islam sebagai ugama yang diredhai oleh Allah S.W.T dan telah didaulatkan menjadi agama rasmi negara.

Manakala di ibu negara, Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan Bangladesh dan warganya di negara ini tidak ketinggalan memeriahkan lagi sambutan Maulud Nabi apabila bersama-sama menyemarakkan laungan dikir di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Bacaan diketuai kumpulan dikir masjid itu.