Gembira meriahkan Hari Keputeraan

Gembira meriahkan Hari Keputeraan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Persiapan seawal bulan Mac dan latihan bertubi-tubi dilaksanakan bagi memastikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran lancar dan tepat, manakala bacaannya juga turut ditasmik.

Itulah yang diamalkan Awang Muhammad Faiz Iqbal bin Mohammad Eddy Suffian, 15, peserta belia lelaki dari Daerah Tutong, yang merupakan salah seorang daripada 1,708 peserta Majlis Khatam Al-Quran 70 kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun yang berlangsung di Istana Nurul Iman hari ini.

Awang Muhammad Faiz ketika ditemu bual wartawan Media Permata berkata, beliau gembira terpilih menjadi salah seorang peserta majlis khatam buat kali kedua dan berlatih mengkhatamkan 30 juz Al-Quran di rumah secara sendiri selama lebih satu jam. Beliau juga menasihatkan agar belia dan kanak-kanak mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menghayati pembacaannya agar dapat dijadikan amalan dalam kehidupan seharian mereka.

Dayang Nabilah Adibah semasa ditemui.
Dayang Nabilah Adibah semasa ditemui.
Awang Muhammad Ataillah semasa ditemui.
Awang Muhammad Ataillah semasa ditemui.
Awang Muhammad Faiz Iqbal semasa ditemui.
Awang Muhammad Faiz Iqbal semasa ditemui.

Manakala peserta Majlis Perundingan Mukim Kampung Labi, Daerah Belait, Awang Muhammad Ataillah bin Haji Julaihi merasa gembira diberikan peluang keemasan itu, menyatakan sokongan ibu bapa merupakan pendorong utamanya.

Beliau turut menyeru belia yang belum menyertai majlis itu, agar dapat menyertainya pada tahun hadapan agar mereka dapat merasakan sendiri kegembiraan setelah berjaya khatam Al-Quran sebanyak 70 kali.

Sementara Dayang Nabilah Adibah binti Haji Yusof yang mewakili Universiti Brunei Darussalam, gembira kerana penyertaan pertamanya ini dapat menyumbang kepada kemeriahan sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-70.

ARTIKEL YANG SAMA