Gembira rai TBC bersama Baginda Sultan

Gembira rai TBC bersama Baginda Sultan

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim. Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Suasana meriah Sambutan Tahun Baru Cina (TBC) bagi masyarakat Tiong Hwa yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa hari ini diserikan dengan persembahan tarian dan silap mata yang pastinya memukau tetamu yang hadir pada sambutan tersebut.

Majlis sambutan turut dimeriahkan lagi dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain.

Yang Dimuliakan Pehin Bendahari China Dato Paduka Onn Siew Siong semasa ditemu bual di majlis itu melahirkan perasaan gembira kerana berpeluang merayakan Sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain.

Manakala Pengurus Besar Concept Computer Vincent Pao yang mewakili Persatuan Foochow, Brunei juga melahirkan perasaan gembira kerana bukan saja berpeluang merayakan sambutan Tahun Baru Cina bersama Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain malah diberi kepercayaan untuk terlibat dalam persiapan sambutan tersebut.

Yang Dimulikan Pehin Bendahari China Dato Paduka Onn Siew Siong.
Yang Dimulikan Pehin Bendahari China Dato Paduka Onn Siew Siong.
Lily Ngo.
Lily Ngo.
Vincent Pao.
Vincent Pao.

“Keberangkatan Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain ke majlis ini menambahkan lagi kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini,” jelas Pengurus Besar Aifa, Lily Ngo.

Beliau seterusnya menjelaskan yang tahun ini merupakan Tahun Monyet dalam kalendar Cina dan berharap kemantapan ekonomi tahun ini akan memberi petanda baik kepada semua terutama peniaga untuk terus bertahan dalam bidang perniagaan.

Naib Pengerusi Persatuan Foochow, Kuala Belait, George Wong pula melihat dengan keberangkatan Baginda Sultan, Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja yang lain ini memberi satu kebanggaan dan kegembiraan bagi masyarakat Tiong Hwa dalam menyambut Tahun Baru Cina.