Gembira, selesa di tempat lama

Gembira, selesa di tempat lama

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Peniaga-peniaga Pasar Malam Gadong rata-ratanya menyuarakan perasaan gembira apabila dipindahkan semula ke tapak lama (tempat letak kereta Pasar Gadong) bermula hari ini, berikutan rayuan para peniaga di sana.

Pemindahan ke tempat lama itu memberi keselesaan bagi para peniaga berbanding sebelumnya di tempat baru (gerai berbumbung yang dibina khas berhampiran Sungai Gadong) yang menurut mereka mempunyai banyak kekurangan.

Antara keluhan yang disuarakan (mengenai lokasi baru) kepada media semasa tinjauan hari ini, termasuk ketidakselesaan dari segi tapaknya, kemudahan awam yang agak jauh untuk digunakan bahkan sinaran cahaya matahari yang boleh merosakkan barangan dan makanan yang dijual.

Salah seorang peniaga, Awang Mohd Naif bin Haji Abdul Khalid berkata, beliau berpuas hati dengan pemindahan tersebut kerana keuntungan jualan berbanding di tempat baru.

Menurut Awang Mohd Naif yang menjual Kebab Shawarma beliau biasanya memperolehi keuntungan $700 sehari, tetapi sejak dipindahkan ke tempat baru keuntungan mereka mula berkurangan kepada $200 sehari.

Pasar Malam Gadong kelihatan lebih berseri dengan kunjungan ramai pelanggan setelah dipindahkan semula ke tempat lama bermula kelmarin.
Pasar Malam Gadong kelihatan lebih berseri dengan kunjungan ramai pelanggan setelah dipindahkan semula ke tempat lama bermula kelmarin.

Beliau turut menjelaskan mengenai kemudahan yang ada terutama tandas awam yang menurutnya mereka terpaksa menggunakan tandas di bangunan lain apatah lagi surau yang masih belum siap dibina.

Apa yang dikesalkan, ujar beliau lagi, adalah tempat letak kereta yang susah untuk dicari dan jauh dari tempat jualan.

“Berbanding pemindahan di tempat lama, kami sekarang boleh menggunakan tandas di bangunan Pasar Gadong yang juga mempunyai surau tersendiri, Alhamdulillah kami berpuas hati dengan penempatan semula di tempat lama,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Hajah Munah binti Haji Sidup juga merasakan banyak kekurangan (di tempat baru) berbanding di tempat lama, antaranya tempat letak kereta dan menyaksikan pelanggan setia semakin berkurangan.

“Saya sudah lama berkecimpung dalam bidang ini dengan menjual sayur-sayuran dan hidangan masakan selama 16 tahun dan sangat berharap pada kemudahan yang selesa, baik dan teratur.”

(Kiri ke kanan) Awang Ahmad, Haji Zaman dan Pengiran Haji Ismail ketika di temu bual mengenai pemindahan semula Pasar Malam Gadong.
(Kiri ke kanan) Awang Ahmad, Haji Zaman dan Pengiran Haji Ismail ketika di temu bual mengenai pemindahan semula Pasar Malam Gadong.
Awang Mohd Naif (kiri) berpuas hati dengan pemindahan tersebut kerana perbandingan hasil jualan lebih jauh menguntungkan.
Awang Mohd Naif (kiri) berpuas hati dengan pemindahan tersebut kerana perbandingan hasil jualan lebih jauh menguntungkan.

Bagaimanapun, beliau turut meluahkan ketidakpastian yang pemindahan itu hanya bersifat sementara.

Sementara itu, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Mohd Daud, Haji Zaman bin Haji Pilok dan Awang Ahmad bin Randah pula menceritakan mengenai petak-petak jualan di tempat baru yang banyak kosong kerana mengalami kerugian ekoran pelanggan mula berkurangan.

Berdasarkan pengalaman mereka berniaga di Pasar Malam Gadong lebih 20 tahun, mereka merasakan tempat lama mempunyai kemudahan yang lebih banyak seperti tempat letak kereta berhampiran gerai jualan, apatah lagi pendapatan para peniaga lebih stabil berbanding di tempat baru.

“Cuba lihat malam ini sahaja, para pelanggan mula datang begitu ramai, ini menandakan sokongan daripada mereka, yang mana para pelanggan berasa selesa untuk membeli juadah dan datang ke sini di tempat lama ini,” kata Pengiran Haji Ismail.

Dalam hal ini, mereka menyampaikan rasa terima kasih kepada pihak berkuasa kerana mendengar rayuan ramai dan melahirkan harapan ia merupakan pemindahan tetap.

ARTIKEL YANG SAMA