Gembira sertai perarakan

Gembira sertai perarakan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Syahmi Hassan & Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Dis – Majlis perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W memeriahkan suasana di ibu negara seawal jam 5:30 pagi lagi hari ini bagi memperingati kelahiran junjungan besar kita.

Sebanyak 143 pasukan, Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bergema dengan laungan dikir dan selawat daripada kira-kira 12,000 orang peserta.

Perarakan turut disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuklah Persatuan Orang-orang Cacat Berkerusi Roda dan Orang-orang Cacat Anggota (PAPDA) yang mana salah seorang daripadanya, Dayang Puteh binti Haji Paya, 61, melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana masih diberikan kesempatan untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Maulud Nabi 1437H.

“Ini merupakan penyertaan kali keempat dalam sambutan Maulud. Ini yang paling ramai disertai oleh warga PAPDA, seramai 35 orang,” jelas beliau semasa ditemu bual oleh wartawan Media Permata.

Dayang Puteh melahirkan rasa syukur dapat menyertai perhimpunan Maulud Nabi kali ini.
Dayang Puteh melahirkan rasa syukur dapat menyertai perhimpunan Maulud Nabi kali ini.

Seorang lagi warga PAPDA, Dayang Norsiah binti Sulaiman, 62, turut mengongsikan perasaan gembira dapat mengikuti sambutan Perarakan Maulud Nabi 1437H.

“Saya memang ingin menyertai sambutan-sambutan seperti meraikan Maulud Nabi ini, daripada di rumah, baik saya membaca selawat di sini,” ujar beliau.

Sementara itu, Awang Mohd Arif, mewakili peserta dari Kementerian Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa Sambutan Perarakan Maulud Nabi kali ini agak meriah jika dibandingkan dengan sambutan yang diadakan sebelum ini.

Salah seorang peserta Maulud Nabi dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Salah seorang peserta Maulud Nabi dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.

“Dibandingkan dengan acara Maulud Nabi yang lepas saya ikuti, Maulud Nabi kali ini nampaknya lebih meriah serta nampak lebih bersatu padu. Daripada segi pengurusan dan kemudahan peserta-peserta yang mengikuti Maulud Nabi ini juga memuaskan hati.”

Pada tahun ini, ahli Jawatankuasa Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam Peringkat Negara juga menyediakan kemudahan kem bagi orang ramai jika berlakunya hujan semasa majlis tersebut.

Orang ramai juga tidak melepaskan peluang turut menjunjung ziarah Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di taman tersebut sebelum memulakan perarakan.

Para peserta juga disediakan minuman di tepi-tepi jalan semasa perarakan mengelilingi Bandar Seri Begawan agar mereka tidak kehausan, tambahan lagi cuaca agak terik ketika perarakan berlangsung.

Suasana turut dimeriahkan dengan kehadiran para pengunjung yang terdiri daripada para pelancong bagi melihat sendiri perarakan.

Sebanyak 21 das tembakan meriam juga dilepaskan ke udara semasa majlis tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA