Gemilang dan meriah

Gemilang dan meriah

Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi

dan Normazlina M.D

Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H

TUTONG, 18 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Daerah Tutong bagi acara yang amat dinanti-nantikan iaitu Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-69 yang berlangsung penuh gemilang, meriah dan berwarna-warni.

Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

pg01_150819_a

Cuaca cerah sejak pagi menambah keindahan serta bagaikan mengundang dan mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama berkumpul tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan usia bagi menjunjung kasih kehadapan majlis Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain dengan membawa semangat perpaduan dan taat setia kepada raja serta negara yang dicintai.

Acara gilang gemilang itu melibatkan segenap lapisan masyarakat termasuk penuntut sekolah dan warga emas yang juga tidak ketinggalan untuk menatap wajah Baginda Sultan dengan lebih dekat lagi.

Barisan bendera kecil negara yang dikibarkan oleh murid-murid dan pelajar sekolah sepanjang jalan menuju kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong serta kehadiran ribuan penduduk dan rakyat Daerah Tutong yang bersama-sama turun ke kawasan padang, hari ini jelas menunjukkan semangat perpaduan serta ketaatsetiaan mereka bagi sama-sama memeriahkan serta menyaksikan dengan lebih dekat lagi acara bercemar duli itu.

Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dimainkan yang diikuti dengan laungan Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.

Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi dalam sembah alu-aluannya berkata sebagai langkah strategik Daerah Tutong ke arah jaringan keselamatan sosial yang mampan, melalui modal insan yang berkualiti serta sumber budaya dan khazanah warisan yang ada, Daerah Tutong terus komited dan lebih berusaha pada meningkatkan kegiatan-kegiatan perekonomian masyarakat yang berpotensi tinggi dan berdaya saing untuk menawarkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan serta perniagaan kepada rakyat dan penduduk, khususnya di kalangan pencari-pencari kerja dan ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.

Awang Wardi berkata berkat daulat dan kepimpinan Baginda Sultan yang berwibawa, berwawasan dan berintegriti, berasaskan calak Brunei yang tersendiri, telah menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam yang unik, cemerlang dan menjadi contoh ikutan yang baik.

“Ditambah lagi dengan kepimpinan Kebawah Duli Tuan Patik yang adil lagi bijaksana yang sentiasa memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyat, sehingga turut sama bebasah bekaring, demi memastikan semua kepentingan rakyat diutamakan, jelas menggambarkan keperibadian unggul Kebawah Duli Tuan Patik sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat.”

Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, acara pagi diserikan dengan sebuah persembahan khas yang membawakan tema, ‘Raja Berwawasan Negara Cemerlang’.

Persembahan khas itu merupakan gabungan peserta dari majlis-majlis perundingan mukim dan kampung, pegawai dan kakitangan kerajaan, belia-belia, penuntut-penuntut sekolah, wakil-wakil puak dan masyarakat Daerah Tutong, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, persatuan-persatuan, badan-badan bukan kerajaan serta badan-badan sukarela di Daerah Tutong seramai 569 orang.

Kemeriahan suasana Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah di daerah itu jelas terlihat di wajah setiap rakyat dan penduduk yang tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain seterusnya menyembahkan sembah ke hadapan majlis Baginda Sultan.

Keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli serta beramah mesra bersama rakyat merupakan suatu tradisi murni yang dapat memberi peluang keemasan dan dinanti-nantikan khasnya golongan warga emas serta penduduk di daerah itu.

ARTIKEL YANG SAMA