Gempa 6.3 magnitud landa Luzon, Filipina

MANILA, 11 Ogos – Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan Pulau Luzon, Filipina, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) hari ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Pusat gempa bumi dicatatkan lima kilometer di barat daya Lian, Batangas sekitar jam 1.28 malam waktu tempatan dengan kedalaman 161 kilometer.

Gegaran turut dirasai di Manila, bagaimanapun tiada laporan sebarang kerosakan diterima setakat ini. Pengarah PHIVOLCS Renato Solidum berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi berkenaan mencatatkan kekuatan berukuran 6.2 magnitud dengan kedalaman 168 kilometer dan gegaran dirasai di wilayah berdekatan seperti Laguna sehingga ke Metro Manila. – Bernama

Kanak-kanak memakai topi keselamatan ketika mereka dibawa keluar dari bangunan selepas gegaran gempa bumi dirasai di Manila kelmarin. – AP
Kanak-kanak memakai topi keselamatan ketika mereka dibawa keluar dari bangunan selepas gegaran gempa bumi dirasai di Manila kelmarin. – AP