Gempa bumi 5.4 Richter landa Nepal

Gempa bumi 5.4 Richter landa Nepal

KATHMANDU, 21 Jun (Bernama) – Gempa bumi berukuran 5.4 skala Richter melanda barat Nepal pada Sabtu petang dan gegaran itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan (NSC), gempa bumi pada Sabtu itu merupakan gegaran baharu, yang tiada kaitan dengan gempa bumi kuat pada 25 April.

Gempa bumi itu berpusat di Rukum, 350 kilometer barat Kathmandu.

Bagaimanapun, tiada kemusnahan besar dilaporkan akibat gempa bumi itu.

Sementara itu, gempa susulan terus berlaku hampir setiap hari di Kathmandu selepas gempa bumi pada 25 April itu.

Gempa bumi berukuran 4.1 skala Richter turut melanda Kathmandu pada awal pagi Sabtu.

Pegawai NSC berkata ia merupakan gempa susulan selepas gempa bumi 25 April 25, yang berpusat di Gorkha.

Setakat ini, 393 gempa susulan direkodkan sejak gempa bumi 7.9 skala Richter melanda Nepal pada 25 April, mengakibatkan sekurang-kurangnya 8,700 orang terkorban.

Pakar seismologi memberi amaran bahawa gempa susulan mungkin berterusan beberapa bulan lagi, namun menolak kebarangkalian akan berlaku gempa bumi kuat di kawasan tengah dan timur Nepal.

ARTIKEL YANG SAMA