Gempa bumi bunuh tiga di lombong tembaga di Poland

Gempa bumi bunuh tiga di lombong tembaga di Poland

WARSAW, 30 Nov – Gempa bumi telah mengakibatkan kira-kira tiga orang terkorban dan lima lagi hilang di sebuah lombong tembaga di Poland, kata pemiliknya, KGHM hari ini.

Tiga mayat telah ditemui pada kedalaman kira-kira 1,100 meter (3,600 kaki) di lombong Rudna di barat daya bandar Polkowice, kata ketua lombong, Pawel Markowski.

Menurutnya para penyelamat menyaksikan empat mangsa terperangkap di bawah batu besar, namun tidak dapat melihatnya dengan dekat untuk memastikan jika lelaki itu masih hidup.

Jurucakap KGHM, Anna Osadczuk memberitahu AFP awalnya bahawa lima pekerja cedera telah dibawa ke hospital, namun nyawa mereka tidak dalam bahaya.

Tinjauan Geologi AS berkata gempa bumi berukuran 4.4 magnitud melanda di bawah tanah malam kelmarin berhampiran bandar Glogow.

Para pengurus lombong menganggarkan tenaga itu dicetuskan oleh gempa bumi pada poin lapan dalam skala 10 yang digunakan oleh industri perlombongan.

Salah sebuah lombong tembaga terbesar di dunia, Rudna memiliki 11 operasi syaf pada kedalaman sekitar satu kilometer. Ia menggaji 4,000 orang dan mengekstrak kira-kira 12 juta tan mineral setahun.

Perdana Menteri Beata Szydlo membatalkan mesyuarat kabinet yang dijadualkan awal hari ini untuk melawat tapak tersebut. – AFP